Permintaan sawit dijangka kekal tinggi

Harga minyak sawit mentah dalam norma baru akan tetap tinggi di tengah isu pengeluaran, kata peniaga



KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh dalam tempoh terdekat dengan paras sokongan psikologi sekitar RM4,000 satu tan, demikian kata peniaga sawit.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng Heng Soon, berkata pengeluaran yang rendah dan permintaan MSM yang utuh akan terus menyokong harga dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, dengan memasuki musim pengeluaran tinggi tetapi berdepan isu pengeluaran akan menjejaskan keseluruhan hasil dan pastinya keadaan itu menyokong harga menuju ke depan.

"Purata harga MSM bagi 2021 dijangka antara RM3,400 hingga RM3,600 satu tan. Permintaan masih kukuh. Jika pengeluaran masih berkurangan pada separuh kedua (2021), harga harus disesuaikan dengan sewajarnya," katanya bagi mengulas mengenai jangkaan harga MSM pada suku ketiga dan keempat 2021.

Beliau berkata demikian pada webinar mengenai Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) anjuran Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) hari ini.


Seorang pekerja memunggah tandan buah kelapa sawit dari sebuah lori di sebuah kilang kelapa sawit.
Mengenai potensi harga MSM akan melepasi sekali lagi paras rekod tertinggi yang dicatatkan pada Mei lalu, Ng berkata, kemungkinan itu ada berikutan pengeluaran yang rendah dan permintaan yang masih kukuh.

Namun begitu, beliau tidak menjangkakan harga MSM boleh meningkat melepasi RM5,000 satu tan.

Pada Mei lalu, harga MSM memecah rekod buat kali ke-10 tahun ini apabila mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu pada RM4,758 satu tan.

Sementara itu, Nicholas Lau dari Jabatan Derivatif Komoditi BMD berkata, pihaknya akan melancarkan FEPO pada suku ketiga tahun ini bagi memenuhi keperluan pasaran MSM di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pelancaran FEPO dijangka merancakkan dagangan dengan penyertaan lebih banyak syarikat minyak sawit di Sabah dan Sarawak dengan adanya penghantaran fizikal menerusi tiga pelabuhan penghantaran iaitu Lahad Datu, Sandakan dan Bintulu.

Katanya, sebelum ini, penyertaan syarikat minyak sawit Sabah dan Sarawak dalam Niaga Hadapan MSM (FCPO) adalah sedikit berikutan kekurangan pelabuhan penghantaran di wilayah berkenaan.

"Pada 2020, Sabah dan Sarawak menyumbang hampir 50 peratus jumlah pengeluaran MSM negara. Dengan pelancaran FEPO menyediakan pemulihan harga yang lebih baik dan lebih berdaya bagi pasaran MSM Sabah dan Sarawak," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post