Polis berjaya memberkas Mohd Rahman Basir di Papar

Tahanan terakhir yang lari akhirnya diberkas



DIBERKAS: Polis berjaya memberkas Mohd Rahman Basir di Papar. Gambar ihsan IPD Penampang

PENAMPANG: Seorang tahanan lelaki yang diburu polis selepas melarikan diri dari pusat kuarantin semalam akhirnya berjaya ditangkap kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, suspek yang positif COVID-19 itu diberkas di Kilometer 3 Jalan Papar Spur Papar.

Menurutnya, Mohd Rahman Basir, 24, berjaya diberkas hasil maklumat awam dan bantuan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

"Suspek yang juga tahanan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 adalah tahanan terakhir yang berjaya diberkas semenjak gerakan mengesan empat tahanan yang melarikan diri dijalankan semalam.

"Pihak IPD Penampang mengucapkan jutaan terima kasih kepada masyarakat dan semua pihak yang terlibat dalam membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya tahanan yang diburu sejak semalam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai kontak rapat atau pernah bertemu dengan keempat-empat tahanan berkenaan semasa mereka meloloskan diri digesa supaya tampil ke klinik berdekatan untuk membuat ujian calitan COVID-19.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan wujud kluster baharu dalam komuniti.

Semalam, polis melaporkan empat tahanan yang positif COVID-19 melarikan diri dari Pusat Kuarantin Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) di sini kira-kira jam 3.30 pagi.

Tiga daripada tahanan terbabit berjaya ditahan kira-kira jam 5.45 petang semalam di Lorong Wijaya 1 Taman Wijaya Menggatal Kota Kinabalu.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.