PPV dibanjiri kerana pengumuman kelonggaran dua dos vaksin untuk rentas daerah, negeri

Kelihatan orang ramai berpusu-pusa hadir di pusat vaksinasi 'walk-in' di Taman Harmoni, Sandakan.



KOTA KINABALU: Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sandakan dan Lahad Datu yang dibuka secara ‘walk-in’ tanpa perlu janji temu dibanjiri ratusan orang seawal jam 7 pagi adalah disebabkan pengumuman kerajaan yang menetapkan dua dos suntikan diperlukan bagi kebenaran rentas sempadan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, dua pusat berkenaan adalah PPV Taman Harmoni, Batu 3, Sandakan dan PPV Dewan Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu.

“Polis percaya kehadiran orang ramai ke PPV ini bukan hanya disebabkan boleh diperolehi secara ‘walk in’ malah kemungkinan besar adalah disebabkan untuk memperoleh kelonggaran kelebihan dus dos sepertimana yang diumumkan baru-baru ini.

“Pada awalnya, kedua-dua pusat ini hanya dikawal oleh dua anggota polis dan dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selepas orang ramai bertindak menyerbu PPV di kawasan masing-masing bagi mendapatkan giliran terawal suntikan vaksin, pasukan polis terus melakukan penambahan keanggotaan untuk mengawal keadaan,” katanya semasa dihubungi semalam.


Kelihatan orang ramai berpusu-pusa hadir di pusat vaksinasi 'walk-in' di PPV Dewan Muhibbah Sembulan, Kota Kinabalu.
Beliau berkata kekecohan itu tercetus selepas orang ramai yang berada di lokasi tidak mengendahkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana bimbang barisan mereka akan dipotong oleh individu yang datang lewat.

“Keadaan terus sukar dikawal selepas ada pihak yang marah kerana ramai yang berdiri terlalu hampir antara satu sama yang lain.

“Bertindak dengan keadaan, seramai 20 anggota dan pegawai pasukan pemantau ditempatkan ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan di kawasan PPV daerah masing-masing," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar menjaga jarak serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita faham semua orang memerlukan vaksin namun ia tidak bermaksud anda boleh mengabaikan peraturan ditetapkan.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan atau kompaun dikeluarkan kerana kebanyakan mereka yang hadir adalah dari luar bandar dan berkemungkinan kurang faham dengan SOP ditetapkan,” katanya.

Kejadian itu turut ditularkan di media sosial dengan sebahagian besar netizen menyuarakan kebimbangan berkenaan sikap orang awam dalam rakaman berkenaan yang langsung tidak menjaga SOP walaupun jumlah kes positif COVID-19 di negeri ini semakin meningkat.

Insiden itu turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memuatnaik rakaman berkenaan sehingga turut dikongsikan pengikut media sosialnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.