Sabah Boleh Beralih Ke Fasa 3 PPN Pertengahan September

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor – FOTO BERNAMA



KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Sabah mampu beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang September sekiranya momentum program vaksinasi sekarang berterusan.

Beliau berkata, negeri ini dijangka akan mencapai 60 peratus pemberian vaksin sebelum 15 September dan ia akan membolehkan Sabah beralih ke Fasa 3 PPN.

“Kita mencapai angka tertinggi vaksinasi harian melebihi 60,000 dos pada beberapa hari lalu. Jika keadaan seperti ini berterusan, kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya pada bulan Oktober atau November,” katanya semasa sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Sulaman, hari ini

Menurutnya, kerajaan negeri akan menerima sebanyak 560,720 dos vaksin CanSino, Pfizer dan Sinovac pada minggu depan.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan penerima vaksin dos pertama di Sabah adalah seramai 1.42 juta.

Dalam pada itu, Hajiji memohon kerajaan Persekutuan agar menaik taraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar berikutan keperluan semasa bagi menangani pandemik Covid-19.

Langkah menaik taraf Hospital Tuaran ini akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan infeksi (jangkitan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman ini berkata, belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang kawalan jangkitan. Hospital pakar ini juga perlu dilengkapi dengan kemudahan perubatan yang baik.

Beliau berkata, kawasan hospital ini mempunyai tapak pembinaann yang luas maka, usaha menaik taraf hospital ini menjadi hospital pakar boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Kedudukan Hospital Tuaran berada di laluan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan amat sesuai untuk dinaik taraf sebagai hospital pakar,” katanya.

Menteri Kewangan negeri ini juga berharap agar kerajaan Persekutuan dapat membina klinik kesihatan di kawasan Sulaman dan Pantai Dalit, Tuaran bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan rawatan kesihatan.

Terdahulu, Hajiji menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah ( ACEM) dan Syarikat Forever Living untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Utusan Online

Post a Comment

Previous Post Next Post