Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli |
LABUAN: Ratusan suami isteri jarak jauh dari Sabah yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan masih belum dapat bertemu pasangan masing-masing tanah besar itu meskipun kelonggaran perjalanan rentas daerah serta negeri bagi golongan tersebut telah diumumkan dan berkuat kuasa Selasa.
Kebanyakan mereka terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan di sini dan hanya sebilangan kecil bekerja dalam sektor swasta.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Sabah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi perjalanan rentas daerah dan negeri untuk pengunjung dari Labuan.
Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah juga perlu meneliti semula SOP bagi perjalanan rentas daerah dan negeri untuk pengunjung dari Labuan.
Katanya Labuan telah pun mencapai imuniti kelompok apabila lebih 80 peratus penduduk dewasanya melengkapkan vaksinasi bagi Covid-19 dan Wilayah Persekutuan itu juga memiliki kadar kebolehjangkitan paling rendah dengan hanya satu kes baharu dilaporkan pada Selasa.
“Memandangkan Labuan telah berjaya melandaikan keluk Covid-19, SOP perjalanan rentas daerah dan negeri Sabah (bagi pengunjung dari Labuan) hendaklah dilonggarkan. Tiada keperluan mendapatkan kebenaran khas untuk perjalanan rentas daerah dan negeri (permohonan dibuat secara dalam talian) daripada jawatankuasa itu yang mengambil masa agak lama untuk mendapat kelulusan manakala syarat perlu menjalani ujian saringan Tindak Balas Rantaian Polimerase (PCR) (bagi memasuki Sabah) hendaklah digantikan dengan sekadar melakukan ujian RTK-Ag,” katanya kepada Bernama.
Rozman berkata surat berhubung perkara itu akan dihantar kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor secepat mungkin untuk pertimbangan.
Beliau berkata meskipun Labuan adalah sebuah Wilayah Persekutuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, pulau bebas cukai itu masih banyak bergantung kepada sumber dari Sabah terutama dari segi bekalan makanan.
“Labuan dan Sabah tidak boleh berpisah kerana ribuan penduduk Sabah masih tinggal di pulau ini sama ada untuk bekerja atau mempunyai sanak-saudara di sini. Oleh itu, bagi pihak penduduk setempat dan pasangan suami isteri jarak jauh terbabit, kami memohon agar Kerajaan Negeri Sabah meneliti semula langkah melonggarkan SOP bagi perjalanan rentas daerah dan negeri,” katanya.
Jeffrey Nian, penjawat awam yang berkhidmat di Jabatan Penerangan Labuan, berkata beliau tidak berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya sejak empat bulan lepas.
“Saya amat gembira apabila mendengar kelonggaran diberikan berhubung perjalanan rentas daerah dan negeri kepada pasangan suami isteri jarak jauh yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Ahad. Malangnya, ia tidak terpakai di Sabah dan ini bermakna saya masih tidak dapat melakukan perjalanan untuk berjumpa isteri saya di tanah besar.
“Oleh itu, saya berharap Kerajaan Negeri Sabah boleh mempertimbang nasib rakyat Sabah (seperti saya) di Labuan,” katanya.
Khairul Idin, wartawan Wilayahku, pula berkata beliau terpaksa tinggal berjauhan daripada isterinya yang kini di Sandakan sejak April lepas.
“Saya telah menghantar isteri balik ke Sandakan selepas dia melahirkan bayi sulung kami untuk berpantang dan ketika itu, terdapat sedikit kelonggaran dalam sekatan perjalanan rentas negeri di Sabah namun kini kami langsung tidak boleh berjumpa kerana SOP bagi perjalanan ke Sabah terlalu ketat untuk pengunjung dari Labuan.
“… agak sedih juga apabila saya hanya mampu meluangkan masa selama beberapa hari untuk bersama dengan bayi saya sebelum menghantar mereka pulang ke Sandakan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Labuan Rithuan Ismail berkata tidak ada sekatan bagi pengunjung dari Labuan untuk ke Sabah jika mereka memiliki permit polis, hasil ujian PCR mereka negatif dan mendapat kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Post a Comment