Tempat kerja, interaksi sosial penyumbang kes baharu Covid-19 di Sabah

Masidi Manjun berkata, kes baharu di Sabah hari ini turut disumbangkan kluster aktif.



KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, selain kluster aktif, kes baharu yang dilaporkan di negeri itu hari ini kebanyakannya berlaku di kawasan perbandaran.

Katanya, jangkitan di kawasan bandar mudah berlaku di tempat kerja dan semasa interaksi sosial.

“Sekali lagi, rakyat diseru sentiasa mematuhi semua SOP, khususnya penjarakan fizikal serta penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan sosial,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, sebanyak 1,379 kes baharu dilaporkan di negeri itu hari ini, menjadikan keseluruhan 93,835 kes setakat ini.

Katanya, lima lagi kematian turut dilaporkan, masing-masing dua kes di Kota Kinabalu dan Tuaran serta satu lagi kematian di Sipitang.

“Saringan kontak rapat penyumbang tertinggi kes baharu hari ini, iaitu 752 kes atau 54.53% daripada keseluruhan kes baharu, diikuti saringan bergejala (265 atau 19.22%), saringan kluster (172 atau 12.47%), saringan bersasar (99 atau 7.18%) dan lain-lain (91 atau 6.6%).

“Terdapat juga 17 kes melibatkan orang kena tahan, yakni sama ada di penjara atau pusat tahanan sementara (PTS) imigresen.”

Beliau berkata, 463 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan keseluruhan 81,713 kes sembuh setakat ini.

Katanya, seramai 4,663 pesakit sedang dirawat di seluruh Sabah, iaitu 1,083 orang di hospital, 3,340 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), 233 orang di PTS atau penjara dan tujuh orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 135 orang dan 56 lagi memerlukan bantuan pernafasan.”

Post a Comment

Previous Post Next Post