Peningkatan kes saringan bergejala membimbangkan: Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Trend peningkatan kes positif hasil dari saringan bergejala di negeri ini agak membimbangkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, trend berkenaan juga menjadi petanda virus COVID-19 semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat tanpa diketahui punca penyebaran.

Menurutnya, walaupun peratusan kontak rapat semakin menurun kepada 54.3 peratus semalam, namun, jumlah kes dari saringan bergejala menunjukkan peningkatan kepada 31.1 peratus atau 708 kes.


"Sebagai contoh, di Kota Kinabalu 40 peratus daripada kes yang direkodkan semalam adalah berpunca dari saringan bergejala, begitu juga di Sandakan 28.6 peratus, Tawau 42 peratus, dan Penampang 36.6 peratus," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, Sabah turut merekodkan jumlah kematian tertinggi semalam dengan jumlah 55 kes kematian meningkat 20 kes berbanding hari sebelumnya.

Katanya, Tuaran merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 12 kes diikuti Kota Kinabalu 10 kes, Tawau tujuh, Sandakan enam, Lahad Datu empat, dan Penampang tiga kes.


Masidi berkata, daerah Putatan, Papar, Beluran, dan Keningau masing-masing merekodkan dua kes kematian, manakala Tenom, Kalabakan, Kinabatangan, Kudat dan Kuala Penyu masing-masing dengan satu kes kematian.

"Kluster Semawang Sandakan yang baharu direkodkan adalah kluster tempat kerja yang melibatkan pekerja warga asing di sebuah kilang papan dan tinggal di kuarters premis berkenaan.

"Pada 19 Ogos 2021, sebuah klinik swasta melaporkan 10 notifikasi kes positif COVID-19 kepada CPRC Sandakan. Kes indeks adalah pekerja lelaki berumur 40 tahun yang dikesan COVID-19 dengan keputusan RTK AG grading 100 peratus dalam saringan pekerjaan.


"Pada 27 Ogos 2021, tiga lagi kes baharu dikesan di lokaliti sama. Justeru, pengurus kilang membuat saringan terhadap 376 pekerja mulai 30 Ogos dan mendapati 103 orang pekerjanya disahkan positif COVID-19 melalui kaedah ujian RTK AG," jelasnya.

Beliau berkata, setakat Sabtu lepas, kluster berkenaan merekodkan sebanyak 116 kes positif termasuk 103 kes baharu.- UTUSAN BORNEO

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.