KOTA KINABALU: Pergerakan keluar dan masuk daerah bagi urusan tugas rasmi kerajaan adalah dibenarkan dengan menunjukkan dokumen surat majikan serta surat arahan penugasan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pergerakan kenderaan jabatan kerajaan atau syarikat swasta turut dibenarkan tertakluk kepada kapasiti tempat duduk kenderaan, lesen (kenderaan swasta) dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
"Had jumlah pekerja yang dibenarkan bertugas dalam pejebat adalah 60 peratus dalam sektor awam persekutuan, 40 peratus lagi bekerja dari rumah. Namun ia tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.
"80 peratus pekerja sektor awam negeri dibenarkan bekerja dalam pejabat dan bakinya 20 peratus bekerja dari rumah, tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, untuk syarikat swasta, kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan kakitangan yang telah lengkap divaksinasi.
Sementara itu katanya, sektor pembinaan, pembuatan, perlombongan dan perkuarian pengoperasian adalah berdasarkan kadar vaksinasi.
Katanya, sekiranya sejumlah 80 peratus sehingga 100 peratus pekerja telah divaksin, maka pengoperasian adalah 100 peratus.
Menurutnya, sekiranya kadar vaksinasi hanya 60 peratus sehingga 79 peratus, maka hanya 80 peratus pengoperasian dibenarkan.
Dalam pada itu katanya, Sabah merekodkan sejumlah 19 kes kematian disebabkan COVID-19 pada 25 September 2021 dan 962 kes baharu.
"Tujuh kes kematian di Sandakan, tiga kes di Kota Kinabalu, dua kes di Tenom dan Kota Marudu.
"Manakala masing-masing satu kes di Lahad Datu, Tawau, Papar, Kinabatangan dan Kunak," katanya.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment