Umno akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu, seterusnya akan memperkasakan parti, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.
KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, parti itu sedia berdepan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Katanya, Umno tetap akan bertanding di semua kerusi dimenangi mereka pada PRU14 termasuk di kawasan yang wakil rakyatnya melompat ke Bersatu.
“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding maka Umno tiada pilihan.
“Umno akan mempertahankan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU lalu, seterusnya akan memperkasakan parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, selaku ketua parti di peringkat negeri, pihaknya bukan saja sedia berdepan Bersatu malah juga mana-mana parti dalam GRS sekiranya pertembungan berlaku.
“Kita telah mengharungi pelbagai dugaan yang besar, kita pernah menang, pernah kalah dan menang semula.
“Jadi ini bukan satu rintangan yang besar untuk kita semua bertembung dengan mana-mana parti pada PRU akan datang,” katanya.
Terdahulu semalam, bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu bersedia melawan Umno dalam pilihan raya akan datang sekiranya parti itu kekal dengan keputusannya untuk tidak bekerjasama. – FMT
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment