'Saya menangis lihat pelajar perlu tukar baju, kembali sebagai tahanan'
KOTA KINABALU – “Saya belum puas lagi dan akan terus berkhidmat selagi bernafas, diberi kudrat dan kepercayaan untuk mendidik pelajar di sini,” demikian tekad Mohd Jefri Ali Basah, guru Sekolah Integriti Penjara Pusat Kota Kinabalu, Sabah.Mohd Jefri, 37, atau mesra disapa Cikgu Jefri dalam kalangan pelajarnya adalah guru Bahasa Melayu dan Sejarah serta mula menjadi pendidik sejak 2010, selepas tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Ilmu Pendidikan) di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Cabaran sebenarnya sebagai guru bermula empat tahun lalu selepas dihantar mengajar di Sekolah Henry Gurney Wanita di Kota Kinabalu pada 2017 sebelum ditukarkan ke sekolahnya mengajar kini.
“Saya mula pasang cita-cita untuk menjadi guru sejak di Tahun Enam lagi kerana minat dengan cara cikgu kegemaran, seorang lelaki dan wanita mengajar ketika itu.”
“Alhamdulillah, perjalanan saya dipermudahkan apabila dapat menyambung pengajian dalam bidang pendidikan dan berpeluang mengajar dekat sekolah di Sabah serta Sarawak selama tujuh tahun.”
“Empat tahun lalu, ada kekosongan di Sekolah Henry Gurney Wanita jadi saya cuba mohon dan diterima jadi di situlah permulaan saya mengenali pelajar di sebalik tirai besi yang terdiri daripada macam-macam ragam,” katanya.
Berkongsi pengalamannya mengajar pelajar yang mempunyai rekod jenayah, Mohd Jefri yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 15 bulan mengakui mengambil masa untuk menyesuaikan diri mengajar di sekolah berkenaan pada mulanya.
Bagaimanapun, dia cuba memahami karakter setiap pelajar dan berusaha memenangi hati mereka dengan menjadikan anak didiknya rakan di luar bilik darjah.
“Emosi saya bercampur baur, ada teruja dan sedih. Agak payah untuk menyesuaikan diri pada mulanya malah saya menangis ketika hari pertama mengajar di Sekolah Henry Gurney Wanita.”
“Ia kerana selepas tamat kelas saja, saya lihat pelajar perlu menukar baju dan kembali menjalani kehidupan sebagai tahanan.”
“Bagaimanapun, pengalaman itu membuatkan saya cekal malah lama kelamaan, timbul rasa seronok mengajar mereka walaupun tahap akademik setiap pelajar berbeza kerana datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016/2017 dan merangkul Anugerah Silver dalam Pertandingan Inovasi anjuran Universiti Malaya (UM) iaitu International Summit of Innovation & Design Exposition 2020.
Berkongsi cabarannya sebagai guru dalam tempoh pandemik, Mohd Jefri berkata, dia tidak dapat mengajar secara bersemuka atau maya ketika sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.
Menurut Mohd Jefri, tiada halangan untuknya memberi modul pembelajaran kepada pelajarnya dalam tempoh itu namun sukar untuk mereka fahami apa perlu dilakukan tanpa penerangan secara bersemuka.+
“Itu kesukaran saya berbanding guru di sekolah harian biasa namun saya menganggapnya sebagai cabaran buat seorang pendidik.”
“Apa pun, saya perlu jalankan tanggungjawab mengajar bagi menghabiskan silibus dan selain berpandukan buku, saya turut hasilkan video untuk menarik minat serta memberi kefahaman kepada pelajar.”
“Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar saya lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malah ada di antaranya meraih keputusan cemerlang.”
“Jujurnya, saya lebih bersyukur dan puas jika dapat mendidik pelajar berubah ke arah lebih baik hingga mereka diterima bekerja dan masyarakat apabila bebas nanti namun satu bonus sekiranya mereka lulus cemerlang dalam SPM,” katanya yang pernah diundang ke sekolah harian biasa bagi menyampaikan ceramah dan perkongsian mengenai kehidupan sekolah dalam penjara.”
Sepanjang empat tahun mengajar di sekolah juvana dan sekolah dalam penjara, Mohd Jefri berpeluang menimba banyak pengalaman berharga dan tidak dapat dilupakannya.
“Antaranya adalah ketika sambutan hari raya pada tahun lalu apabila pelajar saya berpakat melakukan ‘prank’ untuk melakukan kejutan bagi meraikan ulang tahun kelahiran saya.”
“Ketika itu, saya sangkakan mereka betul-betul bergaduh dan bimbang jika dikenakan tindakan tatatertib rupanya semua itu lakonan saja.”
“Memang terharu dibuatnya tetapi ada juga yang buat saya tersentuh iaitu seorang pelajar perempuan yang cemerlang dalam SPM 2019 yang akan dibebaskan 20 tahun lagi. Sedihnya kerana dulu, hampir setiap hari dia bertanya kepada saya bila dia dapat peluang untuk dibebaskan,” katanya.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment