Mohon maaf kepada keluarga sebelum terjun bangunan
Kota Kinabalu: Seorang lelaki sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memohon maaf kepada keluarganya sebelum terjun bangunan di Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit sebelum itu mendaftar masuk ke sebuah hotel bersebelahan pusat beli belah berkenaan.
Katanya, dia kemudiannya dipercayai keluar menerusi tingkap hotel dan berjalan ke bangunan bersebelahan sebelum terjun.
“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati, dia ada menghantar SMS dengan keluarga untuk memohon maaf.
“Pihak keluarga yang risau dengan SMS berkenaan cuba mencarinya sebelum akhirnya mendapat maklumat lelaki terbabit mendaftar di hotel berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
George berkata, sehingga kejadian itu, pihak keluarga mendakwa tidak mengetahui punca dia mengambil tindakan sedemikian.
Katanya, setakat ini, pihak polis tidak mengesan sebarang unsur-unsur yang boleh dikaitkan dengan kejadian jenayah.
“Mayat sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi menjalani ujian Covid-19 sebelum tindakan lanjut diambil.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
-Deasoka
SOURCE: deasoka
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment