KG MESILAU: Penduduk Kampung Mesilau, Kundasang, diarah berpindah akibat hujan lebat berterusan menyebabkan banjir lumpur di Sungai Mesilau Satu dan Sungai Mesilau Dua dari Gunung Kinabalu meningkat pagi ini.
Timbalan Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Suhaji Sumail memberitahu kami, penduduk yang dikhuatiri terjejad diarah berpindah ke Dewan Masyarakat Kundasang.Katanya, banjir lumpur sudah menghampiri jambatan menghubungkan Kampung Mesilau di Sungai Mesilau Satu dan berlaku runtuhan tebing yang dibimbangi memutuskan laluan perhubungan itu.
Petang semalam, banjir lumpur berlaku di Sungai Kadamaian dan Sungai Panataran, dekat Kampung Kiau dan Malangkap, Kota Belud yang juga disebabkan aliran air bercampur runtuhan tanah dan batu di Gunung Kinabalu.
Ia banjir lumpur kedua di kawasan berkenaan selepas kejadian pada 15 Jun lalu yang meranapkan beberapa rumah penduduk berhampiran Sungai Mesilau Dua, selain dua jambatan berikutan gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagon, berkata pihaknya menerima laporan mengenai peningkatan paras sungai berkenaan pada jam 3 pagi dan bergegas ke lokasi bagi tujuan pemantauan.
"Setibanya di kampung itu, kami dapati ada kawasan rendah mula dinaiki air.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, kita mengarahkan beberapa keluarga berpindah ke kawasan selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Post a Comment