MH370

Terkini
.

Kejam! Bangkai Beruang Matahari ditemui pelancong di Sungai Kinabatangan

Bangkai Beruang Matahari di Sungai Kinabatangan
Bangkai Beruang Matahari Ditemui Pelancong

KINABATANGAN – Bangkai seekor beruang matahari dewasa terapung di Sungai Kinabatangan merupakan perkara terakhir yang ingin dilihat pelancong dari Sweden, Tommy Eriksson dan isterinya Teuta Hajra ketika menyusuri sungai itu untuk melihat hidupan liar.

Mereka berjaya mengambil gambar bangkai beruang itu kira-kira pukul 6 petang 16 Jan lepas dan berkongsi imej tersebut dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo (BSBCC), Wong Siew Te hari ini.

Bangkai tersebut merupakan bahagian bawah badan beruang matahari yang dibelah dua dengan kedua-dua kaki belakangnya hilang, dilihat terapung ke hilir Kampung Sukau, berdekatan dengan sebuah estet pertanian.

Menurut Eriksson, isterinya merupakan orang pertama menjumpai bangkai terapung di sungai itu dan apabila mereka melihat dengan dekat, mereka menyedari bahawa ia sebenarnya seekor beruang matahari yang dikerat dua. Eriksson berkata mereka berasa sedih dan marah setelah melihat bangkai beruang matahari yang mati dipercayai akibat menjadi mangsa pemburuan haram.

“Kami sedih melihat skala penebangan hutan di kawasan ini. Pembunuhan ini sangat kejam. Negara ini mempunyai banyak hidupan liar yang menakjubkan dan saya berharap habitatnya akan dijaga dengan baik,” kata Hajra yang menitiskan air mata apabila melihat bangkai haiwan malang itu.


Bangkai beruang matahari itu kemudian ditemukan pada malamnya dengan bantuan anggota Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) dan dihantar ke Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) untuk siasatan.

Dalam satu kenyataan bersama oleh SWD dan BSBCC, Wong berkata beruang itu dibunuh dengan kejam dan tindakan itu menyalahi undang-undang dan perlu dihentikan segera.

“Populasi beruang matahari sudah terancam dengan kehilangan hutan hujan, dan habitat mereka terjejas kerana pembangunan pertanian.

“Populasi yang ada kini sangat lemah dan terdedah dengan kepupusan. Beruang matahari memainkan peranan penting dalam mengekalkan ekosistem hutan yang sihat.

Kehilangan beruang matahari ini tidak bagus untuk hutan yang ada,” kata Wong. Tiada anggaran jumlah yang tepat bagi beruang matahari di hutan Sabah dan haiwan berkenaan yang dijumpai tanpa ibu atau dikurung untuk penjualan haiwan peliharaan biasanya dihantar ke BSBCC untuk pemulihan. – BERNAMA

Kejam! Bangkai Beruang Matahari ditemui pelancong di Sungai Kinabatangan Reviewed by admin Ucop on 8:57 AM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Sabahup2date © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.