Prince Nnake berjaya pikat Sabah

SAFA melengkapkan kuota pemain import pasukan Sabah apabila menandatangani penyerang import dari Nigeria, Prince Tochukwu Nnake.
Prince Tochukwu Nnake berjaya pikat pengendali Sabah

LIKAS: Pengendali Sabah, Vjeran Simunic mengakui tertarik dengan aksi penyerang dari Nigeria, Prince Tochukwu Nnake walaupun pemain itu masih dalam ujian pemilihan bagi mengisi slot pemain import terakhir Sang Badak.

Walaupun baharu tiba di sini, Selasa lalu, pemain berusia 26 tahun itu terus menyertai skuad Sabah untuk perlawanan persahabatan bertemu pasukan Piala Presiden Sabah di Kompleks Sukan Likas, di sini, kelmarin.

Prince Nnake yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama turut meledak satu gol, selain beberapa kali mencemaskan pertahanan lawan.

"Saya suka pemain seperti ini (Prince Nnake), dia boleh melakukan serangan dari kiri dan kanan selain mengawal bola dengan baik serta menjaringkan gol menggunakan kepala.

"Bagaimanapun, ia belum muktamad (mengikat Prince Nnake), saya harap dia kekal namun bukan saja bergantung kepada keputusan saya, tetapi pihak pengurusan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan itu.

Pada perlawanan itu, skuad senior Sabah bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan muda mereka 2-2 dengan hampir semua pemain berada dalam kem Sang Badak diberi peluang beraksi. Prince Nnake yang memiliki ketinggian 1.90 meter, pada tahun lalu beraksi bersama Alassiouty Sports iaitu kelab di Liga Perdana Mesir.


Dia juga pernah beraksi bersama Dolphins FC (2008-2009) dan Sharks FC (2009-2010) di negara asalnya, selain bermain di Belgium dengan Royale Union Saint-Gilloise sebagai pemain pinjaman (2010-2011) sebelum ke Mesir menyertai Tersana Sporting (2014).


Sabah sebelum ini mengikat tiga pemain import iaitu pertahanan dari Croatia, Igor Cerina; pemain tengah dari Brazil, Marco Tulio Gomez dan bekas kapten skuad bawah 23 tahun Indonesia, Dedi Kusnandar.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.