Tiada 'pihak luar' boleh masuk campur dalam pengurusan pasukan Sabah musim ini kata, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah ketika melaungkan amaran itu berkata hanya mereka yang layak saja boleh berada dalam pasukan dan membuat keputusan untuk skuad Badak.
"Jika saya masih Presiden SAFA, saya akan pastikan tiada siapa yang boleh ganggu jurulatih untuk melaksanakan tugas," katanya ketika berucap pada majlis pengenalan pemain dan pegawai serta pelancaran jersi Sabah bagi musim 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden 1 SAFA yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.
Musa dalam ucapannya pada majlis itu, dalam nada tegas turut memberi amaran betapa pihaknya sedia memecat pengurusan, jurulatih atau pemain Sabah yang gagal memberikan khidmat terbaik pada musim ini. "Seperti kita sedia maklum, persembahan dan prestasi pasukan musim lalu amat mengecewakan selain hampir tersingkir daripada saingan Liga Perdana.

"Justeru pada musim ini, saya akan lebih serius dalam membuat keputusan dan tidak teragak-agak untuk memecat jurulatih, pengurusan dan juga pemain jika tidak memberi khidmat terbaik pada musim ini," katanya.

Musa berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada pihak pengurusan pasukan khususnya jurulatih dengan lebih kerap. "Jurulatih akan selalu berjumpa dengan saya untuk memaklumkan perkembangan pasukan serta memberi peluang untuk saya tentukan keputusan yang terbaik musim ini," katanya.

Terdahulu, seramai 23 pemain diumumkan bakal membawa cabaran Sang Badak dalam saingan Liga Malaysia, musim ini. Antara yang diumumkan termasuk empat pemain import iaitu Igor Cerina, Jonathan Behe, Masaya Jitzono dan Sofiane Choubani.

Sementara itu, pemain lain yang turut disenaraikan ialah Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Mohd Sakri, Alto Linus, Rawilson Batuil, Dendy Lowa, Mohd Azzizan Nordin, Jenius Karib, Leopold Alfonso Otong, Ummareng Bachok, Ricco Nigel Milus, Radzi Md Hussin, Maxsius Musa, Mohd Azwan Abd Fattah, Randy Baruh @ Samson, Rahman Shah Marajeh, Saliun Mastar, Sabri Sahar dan Sumardi Hajalan. Dalam pada itu, Sabah juga dikendalikan dua jurulatih dari Perancis iaitu Steve Vilmiaire selaku ketua jurulatih serta Adlane Messelem sebagai Pengarah Sukan SAFA.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date