Kejam! Suami tetak Isteri dengan Pedang Samurai di Kampung Pinggir Bakau, Semporna

Isteri maut selepas ditetak dan ditikam dengan pedang samurai oleh suaminya apabila mangsa menolak untuk melakukan perhubungan intim.
Suami berang permintaannya untuk mengadakan hubungan intim ditolak, suspek tergamak menetak dan menikam isterinya sendiri hingga mati dengan pedang samurai di kediaman pasangan terbabit di Kampung Pinggir Bakau.

SEMPORNA – Akibat enggan ‘bermesra’ seorang suri rumah maut selepas ditetak dan ditikam suaminya bertubi-tubi menggunakan pedang samurai sepanjang 72 sentimeter (cm) di rumah mereka di Kampung Pinggir Bakau, di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu, mang­sa, Norminah Bollok, 38, yang mengalami kecederaan di lengan kanan, pergelangan tangan serta ditikam tiga kali di rusuk kanan dan kiri meninggal dunia akibat pendarahan teruk.

LOKASI kediaman isteri dibunuh suami di Kampung Pinggir Bakau, Semporna.

Suspek dan isterinya telah bernikah sejak 26 tahun lalu serta mempunyai lapan anak iaitu empat lelaki dan empat perempuan yang berusia antara 13 dan 22 tahun.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Peter Umbuas berkata, hasil soal siasat ke atas salah seorang anak pengadu iaitu Sima Jakaria, sebelum kejadian suspek yang bekerja sebagai penjual ikan telah keluar membeli ikan di Pulau Bajau, di sini sebelum pulang dan mengarahkan dua anak lelakinya menjual ikan tersebut di kawasan perkampungan mereka.

Menurutnya, suspek kemudian berehat di rumah dengan menghisap rokok dan dipercayai mabuk kerana turut meminum tuak.

“Bagaimanapun, kira-kira pu­kul 4 pagi ini, suspek telah ba­ngun daripada tidur di ruang tamu rumah mereka lalu masuk ke dalam bilik tidurnya.

“Suspek dipercayai mahu bermesra dengan mangsa tetapi wanita itu menolak hingga berlaku pertengkaran mulut,” katanya.

Tambah Peter, ketika pertengkaran mulut, suspek telah me­ngambil sebilah samurai dan bertindak menetak lengan tangan kanan serta pergelangan tangan kanan mangsa.

Ujarnya, suspek seperti dirasuk apabila bertindak menikam bertubi-tubi bahagian rusuk kanan dan kiri mangsa sebanyak tiga kali hingga menyebabkan wanita itu terjatuh.

“Panik dengan keadaan menimpa isterinya, suspek membuang pedang samurai beserta sarung di bawah kolong rumah jirannya dan melarikan diri dengan membawa beg yang mengandungi pelbagai dokumen wanita itu serta anak mereka,” katanya.

“Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Semporna dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.

Tambah Peter, pihaknya berjaya menemukan pedang samurai yang dipercayai digunakan lelaki itu dan kini giat memburu suspek yang dikenali sebagai Jakaria Abu Bakar atau Lakan, 50, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.