Mayat jururawat ditemui di bilik rumah sewa

Mayat Jururawat ditemui di sebuah rumah sewa Dah Yeh Villa, Kota Kinabalu. Disedari selepas 2 hari tidak datang kerja. Pihak polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


Mayat seorang jururawat yang bekerja di Hospital Queen Elizabeth ditemui dalam sebuah bilik yang terkunci di sebuah rumah sewa di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah ACP M.Chandra, pihak polis telah menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang anak buah mangsa yang datang ke balai polis tengah hari tadi bagi memaklumkan kejadian berkenaan.




Sejurus mendapat makluman, pihak polis terus menuju ke lokasi dan mendapati bilik mangsa yang berusia 40 tahun itu dalam keadaan terkunci dan terdapat bau busuk dari bilik berkenaan.

“Oleh kerana pintu bilik itu dalam keadaan terkunci, pihak polis telah memecahkan pintu bilik itu dan menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap.”

“Pihak polis juga mendapati terdapat satu bungkusan racun tikus di bilik berkenaan dan bersebelahan dengan mayat mangsa terdapat satu botol Coca-cola yang juga didapati terdapat kesan racun tikus berkenaan.”

“Pihak polis juga menemui pil menggugurkan kehamilan dalam bilik berkenaan,”katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Chandra turut menyatakan, seorang lelaki yang dipercayai teman lelaki mangsa juga turut diminta tampil untuk membantu siasatan.


“Berdasarkan pemeriksaan, mayat mangsa telah berada di bilik berkenaan lebih dari 48 jam dan pada hari kejadian iaitu pada ahad lepas teman lelaki mangsa juga didapati keluar secara tergesa-gesa dari bilik mangsa pada kira-kira jam 2.30 petang,”katanya.


Tambah Chandra, lelaki berkenaan juga turut membawa kereta mangsa ketika hari kejadian selepas keluar secara tergesa-gesa dari bilik berkenaan.



“Teman lelaki mangsa juga didapati kerap datang ke bilik mangsa serta sering membawa kenderaan milik mangsa dan pada hari kejadian teman lelaki mangsa juga turut membawa kenderaan tersebut,”katanya sambil menambah lelaki berkenaan juga turut memiliki kunci rumah, kunci bilik dan kunci kenderaan mangsa.

Siasatan awal mendapati tidak ada kesan pergelutan yang berlaku namun pihak polis masih melakukan siasatan punca kematian mangsa.


“Pihak polis juga mendapati bahawa terdapat tali yang digantung di dalam bilik mangsa tetapi berdasarkan siasatan awal tali berkenaan tidak ada kaitan dengan punca kematian mangsa.

Walaubagaimanapun pihak polis akan membuat siasatan lanjut berhubung perkara ini,”katanya sambil menambah teman lelaki mangsa diminta untuk tampil membuat kenyataan di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.