Cuaca buruk menguji pendakian ke puncak Kinabalu
MENDAKI Gunung Kinabalu menjadi pengalaman cukup menarik yang mustahil diramal kerana suasana landskap, cuaca, pemandangan dan kesukaran mendaki sentiasa berbeza mengikut keadaan semasa.
Baru baru ini penulis bersama 16 pendaki dari Kelab Explorasi Tujuh Benua KE7B cuba menawan Puncak Kinabalu dalam masa sehari, bergerak dari Pintu Timpohon pada jam 9 pagi dan sampai di Laban Rata sekitar jam 1.30 petang.PENULIS bersama pendaki dari Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) di puncak Gunung Kinabalu dengan ketinggian 4095 meter dari paras laut baru baru ini.
Sepanjang pendakian ini, kami menikmati cuaca agak sejuk.
Kami bergerak dari Laban Rata pada jam 3.45 petang menuju Pintu Sayat Sayat menggunakan laluan baharu yang dirasakan amat sukar kerana posisinya hampir menegak dan mempunyai banyak anak tangga.
Baru saja tiba di Pintu Sayat Sayat, kami diarahkan berpatah balik ke Laban Rata kerana cuaca buruk, iaitu hujan lebat dan tiupan angin yang kuat. Terasa hikmah berpatah balik ini kerana apabila cuaca bertukar cerah dan penulis dapat menikmati pemandangan yang cukup indah ketika matahari turun.
Selepas hampir 11 jam 'tersadai' di Laban Rata, kami memulakan pendakian menawan puncak pada jam 8 pagi keesokannya.
Cuaca sangat baik. Suasana yang nyaman membolehkan kami mendaki sambil menikmati pemandangan mengagumkan di Trail Ranau sehingga berjaya menawan puncak Kinabalu.
PEMANDANGAN yang cantik di kilometer 7 laluan Ranau menuju puncak Gunung Kinabalu.
Berlindung di balik batu
Pertama kali mendaki Gunung Kinabalu pada akhir tahun 90an. Ketika itu, cuaca buruk dengan hujan dan ribut selepas melepasi Pintu Sayat-Sayat membuatkan penulis terpaksa menyorok di sebalik batu untuk mengelak tiupan angin kencang.Walaupun akhirnya berjaya sampai ke puncak, penulis tidak dibenarkan berada lama di sana kerana cuaca terlalu sejuk sehingga mencapai ke paras beku.
Pendakian kedua pada awal tahun 2000, menyaksikan penulis dibenarkan menginap di Pintu Sayat-Sayat dan dapat merasai kadar kesejukan sangat melampau sehingga bimbang mungkin menghidap penyakit hypotermia walaupun tidak pernah terkena penyakit 'mabuk gunung' sepanjang mendaki Gunung Kinabalu.
SEKUMPULAN pendaki memulakan pendakian dari Laban Rata menuju puncak Gunung Kinabalu. - Foto Abd Rahim Rahmat
Bukan tempat tunjuk handal
Lazimnya, jika mengikut laluan dari Laban Rata, pendakian bermula jam 2 pagi. Ia memerlukan stamina dan semangat kental serta mampu menahan kesejukan melampau.Itu belum lagi 'berebut' trek atau laluan dengan hampir 300 pendaki, sekali gus menyebabkan laluan sesak dan pendakian agak perlahan.
Laluan menjadi sukar, terpaksa menggunakan tali di lereng batu yang curam. Tetapi sekarang, laluan lama itu tidak digunakan selepas tragedi gempa bumi dua tahun lalu.
Mendaki bukan untuk menunjukkan siapa gagah dan pantas, tetapi nikmatilah keindahan gunung yang terbentang luas dan menyaksikan keindahan ciptaan Allah.
Di sini, teringat kata-kata seorang pendaki yang sudah seabad usia, 'daki untuk kesihatan, bukan untuk ragut nyawa'.
TERDAPAT sebuah lopak air berhampiran puncak Kinabalu menjadi tarikan utama pendaki merakam gambar ketika menuju ke Puncak Gunung Kinabalu.
INFO
Kinabalu berasal daripada ungkapan kaum Kadazandusun, Aki Nabalu.
Aki bermaksud nenek moyang, manakala Nabalu bermakna gunung, yang boleh diterjemah sebagai 'Gunung Nenek Moyang'
Dalam bahasa mudah, ia adalah gunung tempat persemadian roh nenek moyang kaum Kadazandusun.
Mengikut legenda Kadazandusun, dewa tertinggi menciptakan dunia dan Gunung Kinabalu, bermula dengan mitos naga yang menjaga harta karun mutiara.
FAKTA NOMBOR
* 4,095.2 meter
Ketinggian Gunung Kinabalu
* 6 km
Jarak dari Pintu Timpohon hingga Laban Rata
* 300 meter
Laban Rata ke Pintu Sayat Sayat
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
p
ReplyDeletePost a Comment