Ellfira Fanira Rusileh, 26, yang berasal dari Kudat di utara Sabah, merupakan seorang jurutera operasi di PFLNG Satu, sebuah kemudahan pemprosesan terapung gas asli cecair (LNG) yang pertama di dunia, milik PETRONAS.
L oji itu ketika ini beroperasi medan gas Kebabangan, kira-kira 90km ke arah barat laut Kota Kinabalu. Perjalanan kerjaya yang membawa Ellfira ke PFLNG Satu dipacu oleh tiga faktor – minatnya terhadap matematik dan kimia, pencapaian baik di sekolah, dan tajaan pendidikan oleh PETRONAS untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.Selepas tamat pengajian di UTP pada tahun 2017, Ellfira dipanggil untuk menjalani temuduga di Menara Berkembar PETRONAS di ibu negara.
“Saya agak gementar juga pada mulanya. Saya diminta menceritakan siapa diri saya dalam tiga perkataan. Saya jawab: peramah, jujur dan komited.
“Mereka ingin tahu keperibadian saya dan juga nilai yang menjadi pegangan saya. Selepas itu, temuduga itu berjalan lancar dan menyeronokkan,” kata Ellfira, anak keempat daripada lima adik-beradik dan merupakan satu-satunya anak perempuan.
Bapanya, seorang Dusun dari Kg Tagaroh di daerah jiran, Kota Marudu, bertugas sebagai kaktiangan awam manakala manakala ibunya, seorang Rungus dari Kudat, adalah surirumah.
Ellfira ditawarkan pekerjaan di PFLNG Satu tiga bulan selepas temuduga itu.
Bagaimanapun, sebelum memulakan tugas, dia ditempatkan terlebih dahulu di Malaysia LNG (MLNG) di Bintulu selama enam bulan pada November 2017 sebagai pendedahan kepada operasi loji LNG.
“Tempoh enam bulan itu seperti memasuki universiti untuk kali kedua, universiti untuk LNG.
“Saya ditugaskan bersama-sama dengan pasukan operasi, pengalaman yang banyak membuka minda saya mengenai operasi sesebuah loji LNG,” katanya.
Ketika itu PFLNG Satu masih beroperasi di perairan Kanowit, Sarawak. Ia kemudian dipindahkan ke medan Kebabangan di Sabah pada Mac 2019.
Direkabentuk untuk beroperasi di laut selama 20 tahun tanpa perlu dibawa ke limbungan kering, PFLNG Satu berfungsi untuk mengeluarkan, mencecair dan menyimpan gas asli di lokasi terpencil dengan kapasiti pemprosesan 1.2 juta tan LNG setahun.
Struktur mega itu mempunyai ketinggan 10 tingkat bangunan dan sepanjang 365 meter atau bersamaan dengan tiga kali panjang padang bola sepak, dan dibangunkan untuk kedalaman air antara 70 meter dan 200 meter. Operasinya menyokong portfolio LNG global PETRONAS.
Ia mempunyai 150 kakitangan yang bekerja mengikut giliran – bekerja mengikut syif selama 12 jam sehari selama tiga minggu di laut, diikuti tiga minggu rehat di darat. Perjalanan ke PFLNG Satu dari Kota Kinabalu mengambil masa 20 minit dengan helikopter atau dua jam setengah dengan bot.
Sebagai jurutera operasi, Ellfira bertanggungjawab memastikan loji itu beroperasi dengan cekap dan selamat.
Sifat kembara membolehkan Ellfira menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang luar biasa. “Semasa di sekolah, saya mengikuti banyak aktiviti lasak seperti kadet tentera, kawat kaki, kawat bersenjata dan bermain futsal,” katanya.
Sokongan rakan sekerja membolehkannya menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang mencabar.
“Mereka banyak membantu saya menyesuaikan diri. Mereka menganggap saya seperti ahli keluarga; semangat berpasukan amat tinggi. Mereka juga memberi panduan dan menggalakkan peningkatan kemahiran supaya kami dapat melakukan yang terbaik,” kata Ellfira.
Selain bekerja, kakitangan PFLNG Satu juga disediakan kemudahan rekreasi seperti gimnasium dan gelanggang futsal.
“Bekerja di sini seperti satu pengembaraan. Ibu bapa saya pada mulanya agak keberatan sebab saya akan bekerja di tengah laut.
”Tapi saya beritahu mereka, jangan risau, PETRONAS adalah tempat yang bagus untuk bekerja dan ia amat mementingkan keselamatan,” katanya.
JIka diberi peluang untuk membina semula kerjayanya, Ellfira berkata, dia tetap akan memilih kerjayanya sekarang.
Pada masa tertentu, ada kalanya Ellfira mengenang kembali masa kecilnya dan merenung ke arah laut, ke arah Kudat, tempat dia membesar. Di sanalah terletak pantai tempat dia bermain pasir, dan tempat dia merenung jauh dan tertanya-tanya – ada apa di sebalik horizon?
Dia kini tahu jawapannya – banyak perkara ada di sana sebenarnya, termasuk dirinya dan PFLNG Satu.
Post a Comment