Bung Moktar pada sidang akhbar di Jabatan Kerja Raya, Sembulan, Kota Kinabalu hari ini. |
KOTA KINABALU: Pelantikan enam Ahli Parlimen Sabah dalam pembentukan Kabinet baharu disifatkan sebagai satu pengiktirafan buat rakyat negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia sekali gus membuktikan bahawa frasa ‘Keluarga Malaysia’ diterjemahkan dalam memenuhi aspirasi rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Sambil menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas pelantikan dua menteri Penuh dan empat timbalan menteri, Bung berharap agar barisan Kabinet baharu mampu menjadi pasukan yang berwibawa.
“Kita sedar dan insaf, pada ketika rakyat masih bergelut dengan penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang sangat mencabar, rakyat menaruh harapan cukup besar kepada Kabinet baharu ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah Kabinet itu bergantung kepada kerjasama dan anggotanya perlu memainkan tanggungjawab mereka dengan telus demi kepentingan rakyat.
“Kita juga mengharapkan Kabinet baharu ini perlu mempunyai satu idea baharu disusuli dengan tindakan-tindakan yang pantas. Ini kerana, rakyat mahu apabila sesuatu itu diumumkan, kerajaan sudah bersedia untuk melaksanakannya, bukan untuk menunggu lagi,” katanya.
Mengulas mengenai pelantikan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada UMNO Sabah sebagai gabungan utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mohamad merupakan satu-satunya pemimpin yang mewakili UMNO Sabah dan telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II.
“Dengan pelantikan itu, kita berharap Mohamad akan lebih memahami isu dan keperluan pendidikan di Sabah untuk disuarakan secara langsung kepada kerajaan dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Datuk Arthur Joseph Kurup sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menyifatkan ia sebagai jambatan antara Kementerian Kerja Raya di peringkat Pusat dan negeri dalam mewujudkan kolabarasi yang lebih padu. – AWANI
Post a Comment