Josip Ivancic meraikannya setelah menjaringkan gol kedua dalam kemenangan permainan persahabatan 3-1 ke atas JDT II di Larkin pada hari Sabtu. |
JOHOR BAHRU: Harimau Selatan mahu menjadikan Sabah mangsa seterusnya dalam misi mengukuhkan cengkaman pendahulu Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Kekalahan 1-4 di Likas sebelum ini pasti masih berbekas buat pasukan Badak dan pasukan bimbingan Benjamin Mora itu dilihat mampu untuk mencatatkan kemenangan berganda ke atas Sabah.
Mengikut rekod pertemuan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat tidak bermasalah untuk membolot tiga mata ke atas skuad Badak apabila mencatat empat kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu.
Tambahan pula, Harimau Selatan berada di tahap terbaik apabila menang semua perlawanan selepas pusingan kedua liga bermula bulan lalu, manakala Sabah sedang bergelut.
Juara liga buat tujuh kali berturut-turut itu berada di tahap terbaik apabila mendapat rehat yang panjang menjelang pertemuan ini bagi memboleh pemain kembali cergas sepenuhnya setelah mengharungi empat perlawanan dalam masa 10 hari.
PEMAIN JDT melakukan latihan akhir semalam menjelang pertemuan menentang Sabah dalam saingan Liga Super malam ini. |
“Kami sudah cukup bersedia menerima kunjungan pasukan Sabah.
“Tambahan pula, semua pemain dapat dalam keadaan yang baik setelah mempunyai banyak masa untuk rehat mencukupi dan cergas sepenuhnya.
“Sudah tentu kami akan memanfaatkan peluang setiap kali beraksi di laman sendiri.
“Kami akan pastikan pelawat berputih mata untuk membawa pulang sebarang mata.
“Tambahan pula, kita sudah menghampiri garisan penamat dan kemenangan adalah satu-satunya yang kami impikan.
“Kami perlukan tamatkan saingan di saat akhirnya dengan bergaya,” katanya kepada pemberita.
Selepas bertemu Sabah, JDT akan menempuhi empat baki perlawanan menentang Petaling Jaya City, Sri Pahang, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City.
Post a Comment