Sabah pernah sertai Olimpik Melbourne sebagai Borneo Utara

GAMBAR bersejarah ini menyaksikan kontinjen Borneo Utara yang diketuai oleh Khoo (kedua dari kanan) dan ahli-ahli lain bersama dua atlet (duduk) Sium dan Gabuh yang diambil semasa Olimpik Melbourne pada 1956.




KOTA KINABALU: Sabah, yang suatu ketika dulu sebagai Borneo Utara, pernah menyertai Olimpik Musim Panas Melbourne pada 1956.

Ia merupakan satu-satunya penampilan Olimpik oleh Borneo Utara, yang ketika itu bekas jajahan British sebelum mereka membentuk Malaysia bersama Malaya, Singapura dan Sarawak pada 1963.

Kontinjen itu diketuai oleh mendiang Datuk Seri Khoo Siak Chew dari Sandakan, bapa kepada Presiden Persatuan Golf Sabah ketika ini, Datuk Peter Khoo.

Datuk Gabuh Piging dan Datuk Sium Diau merupakan satu-satunya atlet yang layak untuk temasya sukan itu dan kedua-duanya bersaing dalam acara lompat kijang. Gabuh, yang ketika itu berusia 24 tahun berada di kedudukan ke-24 dengan jarak 14.55m, manakala Sium Diau, 21 tahun, menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan 14.09m.

Menurut Peter, bapanya merupakan seorang ahli perniagaan dan ahli Majlis Perundangan Borneo sepanjang tempoh itu. “Saya masih ingat kami ada banyak gambar dan cenderahati dari Olimpik Melbourne yang disimpan oleh mendiang bapa saya di rumah kami, tetapi malangnya, kesemuanya sudah hilang seiring masa berlalu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post