Hanya 17.6% penduduk atau 485,880 individu yang mendapat vaksin lengkap Covid-19 di Sabah, kata Masidi Manjun. |
KOTA KINABALU: Jumlah kes Covid-19 di Sabah dijangka berterusan melonjak melainkan lebih banyak vaksinasi dilaksanakan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.
Ia susulan peningkatan kes jangkitan baharu sejak 24 jam lalu, dengan Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi baharu 1,383, pertambahan 136 kes berbanding semalam.
Jumlah jangkitan tertinggi sebelum ini 1,379 kes dilaporkan Ahad lalu.
Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata kadar jangkitan harian itu semenangnya “diramal dan dijangka”.
“Sebelum dan sehingga peratusan signifikan vaksinasi dilaksanakan, angka jangkitan akan kekal tinggi.
“Dengan virus berkenaan berada dalam komuniti, pengesanan kontak menjadi lebih sukar dalam tempoh ‘lockdown’ berkuatkuasa, sehingga sampai ke satu tahap, ia menjadi tidak efektif,” katanya kepada FMT.
Menurut Masidi, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan agensi berkaitan sudah memberikan khidmat terbaik untuk memvaksinasi penduduk, sambil menambah, sehingga semalam, sejumlah 1,126,645 individu sudah menerima dos pertama.
“Ini bermakna, 40.8% populasi dewasa di negeri ini sudah menerima suntikan pertama.
“Kumpulan melengkapkan dos kedua kekal rendah, dengan 17.6% populasi, atau 485,880 individu yang memperoleh vaksin lengkap.
“Kerajaan berterusan melonjakkan kapasiti vaksin, selain menjamin bekalan vaksin mencukupi setiap masa,” katanya.
Masidi berkata, sejumlah besar lonjakan kes berlaku di ibu negeri, membabitkan 326 jangkitan hari ini, merangkumi 24% jumlah jangkitan keseluruhan.
Diikuti Tawau (168), Sandakan (138) dan Tuaran (92).
Katanya, berlaku peningkatan ketara jumlah jangkitan baharu di pantai timur daerah negeri itu seperti di Sandakan, Kinabatangan dan Beluran, selain termasuk kawasan pedalaman dan daerah sukar ditembusi di Keningau, Kota Marudu, Tenom dan Kota Belud.
Jangkitan membabitkan kontak rapat meliputi lebih separuh daripada kes merangkumi 54.2% atau 749 kes, dengan kes simptomatik dan sporadik membabitkan 23.3% atau 322 kes.
Masidi berkata, hari ini, kluster baharu dikenalpasti di Kampung Timbua di Ranau, membabitkan sekurang-kurangnya 49 orang diuji positif.
Post a Comment