Berikut merupakan analisa yang diberikan Pensyarah Sains Gempa Bumi Geologi UMS, Prof. Dr. Felix Tongkul setelah 100 gempa susulan berlaku di sekitar Gunung Kinabalu. Kepada Penduduk Sekitar Kawasan Gunung Kinabalu:
Pada hari ini, mengikut rekod Jabatan Meteorologi Malaysia, sudah mencapai sekitar 100 gempa susulan berlaku di sekitar Gunung Kinabalu.Mengikut analisa awal terhadap data gempa susulan ini didapati bahawa sebilangan besar pusat gempa susulan ini terletak di bahagian Barat dan Baratlaut Gunung Kinabalu. Kedalaman fokus gempa adalah antara 9km hingga 33km.
Kedalaman gempa susulan meningkat kearah Barat dari gunung ke kawasan Tuaran. Ini bermakna bahawa satah sesar turun yang menyebabkan gempabumi utama pada 5 Jun adalah sangat dalam, mencapai lebih 33km dan mempunyai kelebaran sekitar 20km.
Sesar ini terletak dibawa jasad granit Gunung Kinabalu, dimana jasad ini adalah seperti "cendawan butang besar" bersaiz sekitar 3000 kubik km yang terapung di permukaan kerak bumi.
Sesar utama ini juga telah menggerakan beberapa sesar lain yang berdekatan. Ini bermaksud bahawa jasad batuan granit Gunung Kinabalu "terpotong" di bahagian kakinya.
Keadaan ini telah membuat kawasan gunung kurang stabil dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Ini bermakna bahawa sesar utama dan sesar-sesar lain akan terus bergerak dan boleh menghasilkan gempa-gempa susulan, jika pergerakan mereka terhalang.
Khabar baik untuk penduduk.
Sebilangan besar gempa susulan adalah bermagnitud kurang dari 4. Keadaan ini tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur. Walau bagaimanapun gegaran berterusan ini boleh menyebabkan lebih banyak tanah runtuh di kawasan gunung.
Khabar kurang baik untuk penduduk.
Mengikut rekod kekerapan gempa susulan, kita masih lagi dalam "fasa aktif". Ini bermakna bahawa gempa susulan akan berterusan beberapa minggu atau beberapa bulan lagi. Keadaan ini memang agak luar biasa. Ini adalah kerana kewujudan "faktor Gunung Kinabalu tercedera" yang membuat keadaan geologi disini lebih rumit dan sukar untuk diramal.
Saya harap penduduk sekitar Gunung Kinabalu terus bersabar dan tidak perlu terlalu takut dengan gegaran-gegaran kecil ini.
Gegaran-gegaran kecil begini adalah suatu kebiasaan di Negara lain seperti Jepun, Taiwan, Filipina dan Indonesia. Malahan sekitar 50,000 gegaran bermagnitud kurang dari 4 berlaku setiap tahun di seluruh dunia.
Disediakan oleh:
Prof. Dr. Felix Tongkul
UMS, 28/6/2015.
Post a Comment