153 pelajar di Kudat terima komputer riba sempena Program BAIK

BANTUAN: Hajiji (tengah) menyampaikan komputer riba kepada Muhd Azman (kanan) di Kampung Landung Ayang Kudat.

10,000 unit komputer riba untuk pelajar miskin di Sabah



KUDAT: Seramai 513 pelajar kurang berkemampuan dari beberapa sekolah di daerah ini kini boleh menarik nafas lega selepas terpilih untuk menerima komputer riba sumbangan kerajaan negeri.

Pemberian komputer riba berkenaan bagi membantu para pelajar yang terlibat untuk menjalani sesi pembelajaran secara atas talian.

Penyampaian itu diadakan sempena pelancaran rasmi program BantuN ihsan Komputer (BAIK) oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Kudat Golf and Marina Resort, di sini, Khamis.

Hajiji menyampaikan komputer riba berkenaan sempena majlis Pelancaran Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) di sini hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Dr. Kassim Hussein menerima bagi pihak semua pelajar di Sabah dan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat Kusdi Ribut menerima komputer riba untuk pelajar yang layak di Kudat.

Sebanyak 10,000 unit komputer riba disediakan oleh kerajaan negeri untuk pelajar kurang berkemampuan yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini di Sabah.

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi fasa pertama program BAIK menerusi kerjasama yang dijalankan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas dengan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah.

Kedua-dua pihak bertanggungjawab dalam mengenal pasti penerima sekolah menengah yang layak membabitkan seramai 9,842 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) serta 158 pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Sumbangan komputer riba berkenaan dibekalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah melalui Sabah Net selama tiga bulan bermula 19 Julai lepas.

Hajiji berkata, keputusan kerajaan negeri memberikan komputer riba kepada calon SPM dan STPM bukan hanya untuk menolong mereka untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun katanya, sumbangan komputer riba itu juga untuk kegunaan pelajar berkenaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada masa akan datang.

BAIK disokong oleh perkhidmatan VSAT ConnectMeNow dan Program Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Terdahulu, Hajiji berkesempatan singgah ke Kampung Landung Ayang dekat sini untuk menyerahkan sendiri komputer riba kepada salah seorang pelajar SMK Kudat Muhd Azman Sumar, 19, yang akan menduduki STPM tahun ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan replika cek berjumlah RM144,000 kepada Kassim untuk disampaikan kepada seramai 72 pelajar cemerlang STPM 2020 yang akan menerima RM2,000 setiap seorang.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.