Majlis Perkahwinan Cetus Kluster Baharu Di Kampung Lima, Nabawan

Aktiviti sosial sempena majlis perkahwinan cetus kluster baharu hari ini

KOTA KINABALU: Aktiviti sosial membabitkan majlis perkahwinan di sebuah kampung mencetuskan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Lima.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kluster berkaitan komuniti yang dikenal pasti di daerah Nabawan itu dikesan menerusi majlis perkahwinan di Kampung Lima.


“Kes indeks merupakan lelaki berusia 22 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos selepas mengalami gejala demam, batuk, dan sakit sendi bermula 18 Ogos lalu.

“Siasatan mendapati kes ini kemungkinan mendapat jangkitan dari komuniti. Pengesanan secara aktif dan saringan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mendapati 61 lagi kes positif termasuk empat kes baharu hari ini.

“Manakala, 21 individu masih menunggu keputusan saringan pertama, sementara 53 individu negatif sampel pertama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun
Menurutnya, selain Kluster Lima, satu lagi kluster berkaitan tempat kerja, Kluster Pin Supu di Kinabatangan dikesan di ladang kelapa sawit dalam Mukim Sukau membabitkan 34 kes positif setakat ini.

Sementara itu, di KINABATANGAN, satu kluster baharu juga tercetus oleh pekerja ladang Indonesia.


Masidi berkata, Kluster Pin Supu – Kinabatangan merupakan kluster jenis tempat kerja iaitu di ladang kelapa sawit dalam Mukim Sukau.

Jelasnya, kes indeks adalah pekerja ladang, wanita, 40, warganegara Indonesia disahkan positif Covid-19 (RTK-Ag) di Hospital Kinabatangan pada 22 Ogos 2021.

“Kes indeks yang mula bersimptom sejak 14 Ogos 2021, telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.


“Aktiviti persampelan kontak terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif termasuk 32 kes baharu hari ini dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan.

“Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.