Pelajar UiTM ini balik Ranau dan dedah asal-usul keluarga, menoreh getah jadi kemestian... tapi kenapa ada yang tak percaya?

Cassey bersyukur dengan segala pengalaman masa lalu biarpun mengakui ia bukanlah satu kehidupan yang mudah.



VIDEO memaparkan seorang gadis yang sedang menoreh getah meraih hampir 300,000 tontonan di aplikasi TikTok.

Selain memuji rupa paras serta kegigihannya bekerja, ada netizen mempertikaikan video itu dan menganggap ia sebagai penipuan semata-mata.

Menurut Cassandra E.J yang merupakan gadis Dusun dari Ranau, Sabah, rakaman itu dibuat pada Khamis lalu ketika dia mengikut ibunya ke kebun getah.

Jelasnya, dia tidak berpura-pura, sebaliknya memang sudah terbiasa dengan pekerjaan itu sejak kecil lagi.

"Rakaman itu dibuat pada minggu lepas. Kebetulan saya ada di kampung. Saya memang selalu ikut mak pergi kebun sejak dulu.



"Niat rakam video tu sebab nak post dalam grup famili, nak tunjuk kepada adik yang berada di Kuala Lumpur. Saja nak kacau dia.


"Kemudian saya post di TikTok. Bukannya nak beritahu yang saya bekerja sebagai penoreh getah, tapi nak sampaikan mesej bahawa kita jangan malu dengan asal-usul, sebab saya memang membesar dalam keluarga penoreh.

Cassey berasal dari Ranau, Sabah.
"Ada yang tak percaya video tu, mungkin mereka salah faham dengan maksud saya dalam video tu. Bukannya saya full time penoreh. Saya abaikan saja sebab tak boleh hentikan pendapat orang," ujarnya.


Mesra disapa Cassey, gadis berusia 26 tahun itu merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor yang kini sedang berada di kampung halamannya.

Setiap kali balik kampung saya akan ikut pergi kebun sebab nak kumpul balik memori dulu-dulu.

CASSEY

Kata Cassey, masa terluang ketika cuti ini dimanfaatkan untuk membantu ibunya menoreh, sekali gus memberi peluang untuknya mengimbas kenangan zaman kanak-kanak.



"Dulu masa kecil selalu ikut ibu bapa ke kebun getah dan kebun sayur. Memang dari sekolah rendah, ibu bapa ajar pergi ladang setiap hari Sabtu kecuali Ahad.

Cassey merupakan penuntut di UiTM Shah Alam.
"Kalau cuti sekolah panjang, ibu bapa saya akan bagi kami adik beradik satu kebun tu untuk toreh sendiri dan hasil duit kebuh tu saya guna untuk beli barang-barang masuk sekolah.

"Setiap kali Sabtu, mesti malas gila nak pergi kebun sebab kena bangun awal jam 6 pagi. Tapi nak tak nak kena pergi juga sebab takut kena bebel. Tapi sebab bebelan itulah, sekarang jadi rindu gila dengan zaman-zaman pergi kebun getah dulu.


"Sebab tu kalau boleh, setiap kali balik kampung saya akan ikut pergi kebun sebab nak kumpul balik memori dulu-dulu. Nak imbas masa kecil selalu pergi kebun dengan famili dan makan di sana," ujarnya lagi.

Bisnes makanan tradisi Sabah yang diusahakan Cassey dengan adiknya.
Tambah Cassey, dia bersyukur dengan segala pengalaman masa lalu biarpun mengakui ia bukanlah satu situasi yang mudah.

Mengenai dirinya, Cassey ketika berada di ibu negara turut menjalankan perniagaan makanan Sabah dengan adiknya sejak setahun lalu.


"Dekat KL, saya tinggal dengan adik. Kami mulakan bisnes Camylinopot sejak setahun yang lepas. Masa tu pandemik, tak boleh rentas negeri dan kami sangat rindu makan linopot iaitu makanan tradisi orang Sabah.

Cassey tak sangka video dikongsi raih perhatian ramai.
"Linopot kat KL ada, tapi tak dapat nak cari yang macam biasa kami makan. Dari situ datang idea untuk berniaga.


"Linopot ni dia macam nasi dengan ubi dalam balutan daun, lepas tu dengan lauk lada putih dan ikan masin Sabah. Kami jual online," ujarnya lagi.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.