Pelan JENDELA Negeri Sabah , RM3.5 billion diperuntukkan: Arthur

Arthur(tiga dari kiri)semasa melawat Menara Telekomunikasi Kampung Rungus Nahaba Tuaran.

TUARAN:Sebanyak RM3.5 billion diperuntukkan untuk pelaksanaan Pelan JENDELA bagi negeri Sabah sehingga 2022.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata, Peruntukan ini melibatkan pembinaan 534 menara baharu 4G, 3,374 stesen pemancar akan dinaik taraf dan 251,165 premis akan disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.

Menara Telekomunikasi Kampung Rungus Nahaba Tuaran yang dibina dibawah Program JENDELA.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sehingga 30 Jun 2021 sebanyak 51 menara baharu 4G telah dibina, 1,850 stesen pemancar telah dinaiktaraf serta 60,337 premis telah disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, Pelan JENDELA ini dihasilkan untuk memenuhi aspirasi nasional perkhidmatan komunikasi sebagai usaha memperluaskan liputan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh bagi Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Ini katanya, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi mempersiapkan negara untuk beralih kepada teknologi 5G.


Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)Datuk Arthur Joseph Kurup
“Pelaksanaan JENDELA melibatkan komitmen pelaburan secara komersial daripada pihak pemberi perkhidmatan (industri), pembiayaan melalui dana

Pemberian Perkhidmatan Sejagat (Universal Service Provision – USP) di bawah seliaan SKMM serta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan” katanya selepas lawatan kerjanya ke Projek JENDELA di Kampung Rungus Nahaba hari ini.

Lawatan ini bertujuan memantau perkembangan projek bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri Sabah.

Beliau berkata, JENDELA merupakan Inisiatif Kerajaan merapatkan jurang digital bagi penduduk bandar dan luar bandar serta Pedalaman terutamanya di Sabah telah dipergiatkan.

“Usaha ini akan dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi digital serta mempermudahkan urusan atas talian seperti pembelajaran dan perdagangan” katanya.

Mengenai pelaksanaan menara telekomunikasi di Kampung Rungus Nahaba telah siap dan mula beroperasi pada 01 Jun 2021, Arthur berkata, menara ini adalah antara 51 menara baharu melalui projek JENDELA yang terawal dilaksanakan di negeri Sabah.

Katanya, menara telekomunikasi ini dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250 penduduk di kampung ini.

”Ini adalah termasuk guru-guru dan murid-murid di SK Rungus Nahaba yang kini boleh menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari rumah melalui jaringan perkhidmatan telekomunikasi 4G yang lebih baik” jelasnya.

Tambahnya, dengan adanya menara telekomunikasi di Kampung Rungus Nahaba ini juga akan melonjakkan taraf hidup dan memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan harian yang memerlukan kemudahan capaian internet.

Katanya lagi, kesalinghubungan Internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosio-ekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan melalui atas talian.

Selain itu katanya, sebanyak 781 points of presence (PoP) akan disediakan berhampiran kawasan sekolah bagi ketersambungan perkhidmatan jalur lebar.

“Penyediaan PoP ini akan membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial yang berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar. Ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar” jelasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.