Hujan Berpanjangan Di Sabah Penyebab Kerosakan Di Ibu Negeri

Lereng bukit runtuh bersebelahan wad pesakit batuk kering di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Hujan lebat semalam mengakibatkan beberapa bahagian di ibu negeri terjejas, selain mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan (kiri) memeriksa kawasan tanah runtuh ke laluan kediamannya di Inanam, Kota Kinabalu, hari ini.
Kejadian gelongsoran tanah di kawasan berbukit di Inanam, menuju ke kediaman Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan, juga dilaporkan berlaku selepas hujan lebat, sekali gus menyebabkan ia tidak dapat dilalui.


Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, terpaksa berjalan lebih satu kilometer menuruni bukit untuk bekerja pagi tadi, susulan pokok tumbang yang menyekat akses masuk ke jalan raya.

Anggota bomba dan penyelamat dan penduduk kampung terbabit dalam usaha mencari bangkai Myvi yang dihanyut arus deras dalam kejadian di Kampung Kionsom, semalam.
Di Inanam, pasukan bomba dan penyelamat turut menjumpai satu mayat, dipercayai Juning Maturun, 37, penumpang kereta yang dibawa arus deras di Kampung Kionsom, semalam.

Bangkai kereta Myvi yang dihanyutkan itu ditemui 200m dari lokasi kejadian, selepas dilaporkan hilang pada jam 6 petang, semalam.

Kenneth Wilfred yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR), berkata bangkai kereta itu ditemui sepasukan anggota bomba dan penduduk tempatan di sungai berkenaan pada jam 7.20 pagi tadi, namun pihak berkuasa hanya mampu menarik keluar bangkai kereta itu empat jam kemudian.

Katanya, usaha mencari masih diteruskan bagi mengesan pemandu, Simon Sanga Tupe, 68.


Kereta yang membawa dua individu itu, dirakam dalam video yang tular menunjukkan kenderaan itu cuba merentasi jambatan sebelum dibawa arus deras sungai. Kenderaan itu terjunam ke sungai dan hanyut.

Anggota bomba sedang mengeluarkan mayat salah seorang mangsa dihanyutkan bersama kereta Perodua Myvi. – Foto Facebook
Sementara itu, pesakit batuk kering di wad Hospital Queen Elizabeth, di sini, dipindahkan ke kawasan selamat selepas bukit berdekatan wad terbabit runtuh dalam kejadian pada 7 malam, semalam.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya, ketika melawat kawasan terjejas berkenaan, berkata tiada mangsa direkodkan dalam insiden terbabit, namun pesakit dan kakitangan perubatan dipindahkan ke kawasan berasingan bagi tujuan keselamatan.

Katanya, usaha sedang dilakukan bagi mengekalkan kestabilan cerun sebelum kerja pemulihan dapat dilaksanakan di kawasan terjejas.

Dalam kejadian berasingan, di Kampung Kopungit, 500m dari situ, sebuah fasiliti penyimpanan digunakan Kementerian Kesihatan untuk menyimpan bekalan perubatan yang dibina dibukit runtuh akibat gelongsoran tanah, semalam.

Tiga kereta dan sebuah motosikal milik kakitangan kementerian turut tertimbus susulan kejadian pada jam 7.30 malam itu.

Menurut jurucakap jabatan bomba dan penyelamat, tiada mangsa direkodkan, tetapi ketua kampung menasihati penduduk sekitar berpindah demi keselamatan.

Kata jurucakap itu, jabatan bomba dan penyelamat sudah mendirikan ‘pagar perangkap’ dalam kawasan terjejas di kawasan bukit yang turut menempatkan sebuah tangki air besar, di atas lokasi tanah runtuh berlaku.

SOURCE: FMT

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.