Remaja warga asing ditahan semasa leka curi kulit tangar di tapak Ramsar hutan simpan Trusan Kinabatangan

RAMPAS: Kulit kayu tangar bernilai RM12,350 yang dirampas daripada suspek remaja berkenaan. FOTO Jabatan Perhutanan Sabah

Sindiket dari Filipina sasar curi kulit kayu tangar Sabah

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki warga asing yang leka mencuri kulit tangar di tapak Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) hutan simpan Trusan Kinabatangan berjaya ditahan dalam satu serbuan bersepadu.


Ketua Konservator Hutan Sabah, Frederick Kugan berkata aktiviti suspek berumur 16 tahun dari Taganak Filipina itu dikesan melalui penggunaan ‘dron’ semasa pasukan serbuan melakukan pemantauan di sekitar lokasi terbabit.

“Sebaik mendapat maklumat pencerobohan itu, kita melaksanakan satu serbuan yang diketuai oleh Penolong Pegawai Perhutanan Daerah Kinabatangan Ajamain Alias bersama 20 kakitangan Pejabat Perhutanan Daerah Kinabatangan dengan dibantu kakitangan Pejabat Perhutanan Wilayah Sandakan.


“Hasil serbuan berjaya menahan suspek yang sedang asyik memunggah masuk kulit tangar ke dalam perahu jenis kecil dikenali sebagai ‘Bogo-Bogo’ yang digunakan untuk mengangkut kulit tangar dari lokasi terpencil di tengah hutan bakau,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata turut dirampas semasa serbuan terbabit ialah kulit kayu tangar seberat lebih kurang 950 kilogram bernilai RM12,350.

CURI: Perahu ‘Bogo-Bogo’ yang digunakan untuk mengangkut kulit kayu tangar dari lokasi terpencil di tengah hutan bakau.
“Pasukan serbuan turut merampas lapan khemah, sembilan perahu Bogo-Bogo, kelengkapan memasak, tiga gelen berisi beras, sembilan gelen berisi air, dua bilah kapak, tiga alat pengupas kulit tangar dan guni berisi pakaian yang dipercayai digunakan sepanjang menjalankan aktiviti mencuri kulit kayu tangar di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan juga mendapati kira-kira 170 pokok tangar ditumbangkan membabitkan keluasan dua hektar untuk mendapatkan kulit kayu yang dirampas,” katanya.

Tambahnya pihaknya akan menjalankan operasi selanjutnya yang akan disertai Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pos Mumiang bagi mengesan saki baki rakan sejenayah suspek yang berjaya melepaskan diri.

Katanya suspek yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan 1968 iaitu memiliki barangan hutan (kulit kayu tangar) secara tidak sah bagaimanapun sudah dituduh dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi proses pengurusan penghantaran pulang ke negara asal.


Bercakap lanjut berkenaan kes ini, Frederick berkata lokasi Sungai Pitas, Sungai Inarab, Sungai Sugut, perairan Pulau Jambongan, Persisir Perairan Pulau Bangi dan Kuala Meruap adalah sasaran utama bagi pencuri kulit tangar rentas sempadan yang dipercayai berpangkalan di negara jiran.

“Lokasi ini sangat padat dengan spesis kayu tangar yang mempunyai bahagian kulit yang sesuai dijadikan pewarna pakaian serta bahan campuran di dalam industri minuman.

“Modus operandi pencuri adalah menyelinap masuk secara haram di semua lokasi sasaran dan tidak dinafikan terdapat penglibatan orang tempatan yang bertindak sebagai dalang didalam sindiket ini,” katanya.

Tambahnya lokasi kes pengambilan kulit tangar terletak di dalam Tapak Lembangan Kinabatangan dan Segama seluas 78,000 hektar iaitu salah satu tapak Ramsar paling luas di Malaysia dan menjadi perhatian seluruh dunia. “Aktiviti mencuri kulit kayu tangar ini akan menjejaskan nama baik Sabah khususnya dan Malaysia amnya sekiranya aktiviti seumpama ini tidak dibendung.


“Ekosistem Bakau di kawasan ini juga adalah habitat atau sumber pembiakan ikan yang penting untuk Sabah, gangguan habitat ini akan menjejaskan potensi hasil tangkapan ikan nelayan tempatan disamping mengurangkan kepelbagaian diversiti flora di kawasan ini.

“Jabatan Perhutanan akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dengan menambah keupayaan kakitangan termasuk menggunakan sepenuhnya Unit Khas Penguatkuasa Jabatan Perhutanan atau “Protect Team” yang terlatih dalam pelbagai situasi jenayah perhutanan dan dilengkapi dengan kemudahan bot berkapasiti tinggi untuk memudahkan lagi pengawalan kawasan hutan kita,” katanya.

SOURCE: Utusan Borneo

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.