Pelancong luar sertai pengalaman pendakian percubaan pertama kali ke Laban Rata, Gunung Kinabalu

Kickbola.net
Selepas lebih dua bulan ditutup kepada orang ramai ekoran insiden gempa bumi 5.9 Richter 5 Jun lalu, Gunung Kinabalu dibuka semula untuk pendaki. Pendakian pertama, membabitkan 88 orang pendaki. Ia pendakian ujian sebelum aktiviti pendakian harian ke Gunung Kinabalu yang terhad ke Laban Rata sahaja, dibuka semula kepada umum 1 September depan. LEBIH 70 pendaki selamat tiba di Laban Rata selepas mendaki pada ketinggian 3, 272.7 meter dari aras laut.
Pelancong luar sertai pendakian percubaan pertama kali ke Gunung Kinabalu

KUNDASANG: Pelancong luar antara 88 pendaki yang diberi peluang untuk percubaan pertama kali pendakian ke Laban Rata sejak Gunung Kinabalu ditutup akibat gempa bumi kira-kira dua bulan lalu.

Michael Lewis, 39 dari California, Amerika Syarikat berkata, peluang itu adalah pengalaman menakjubkan dan akan digunakan untuk membantu menyampaikan mesej kesedaran kepada pelancong lain berkaitan keadaan terkini laluan pendakian Gunung Kinabalu yang selamat.


Pendakian ini adalah ekspedisi pendakian pertama di Gunung Kinabalu sejak gempa bumi pada 5 Jun lalu. - Foto Lano Lan

Lewis, anggota sebuah kelab kebajikan yang dianggotai kira-kira 20 negara, memberitahu, beliau berasa cukup bertuah kerana menjadi antara peserta dalam pendakian percubaan itu.


Semalam, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun melancarkan pendakian harian kepada 88 pendaki termasuk media tempatan dan nasional bermula dari Timpohon Gate hingga ke Laban Rata.


Aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dihentikan sementara selepas daerah berkenaan dilanda gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter kira-kira 7.15 pagi pada 5 Jun lalu yang mengorbankan 18 mangsa termasuk 10 dari Singapura, Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Sementara itu, warga Australia, Andrew Britto, 51, berkata beliau beruntung diberi peluang sekali lagi mendaki Gunung Kinabalu meskipun telah mendakinya beberapa kali sebelum ini.

Beliau berpendapat tidak banyak perubahan berlaku di sepanjang laluan pendakian sehingga ke Laban Rata itu kecuali kesan runtuhan batu jelas kelihatan di kilometer 1.5 iaitu kira-kira 2,164 meter ketinggian dari aras laut.

"Walaupun sudah mendaki sebelum ini namun perasaan pendakian selepas gempa berbeza dengan menggunakan laluan baharu bersebelahan trek lama dan ini adalah pengalaman indah biarpun tidak sampai ke puncak gunung," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, penutupan aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu kira-kira dua bulan lalu bukan saja menutup hasil pendapatan para malim gunung tetapi turut menjejaskan stamina mereka.

Eddy Minel, 25, berasal dari Kampung Poring, Ranau mengakui merasai perubahan pada staminanya apabila terbabit membawa 88 pendaki dalam percubaan pertama kali menaiki Gunung Kinabalu sehingga Laban Rata, semalam.


"Memang ada rasa sedikit penat sebab lama tidak mendaki dan stamina pun kurang," katanya.

Eddy yang menjadi malim gunung sejak berusia 17 tahun berkata, sebelum ini dia mendaki Gunung Kinabalu tiga kali seminggu untuk membawa pelancong sekali gus mengekalkan staminanya.


Bagi Julius Dani, 36 dari Kampung Tomis, Tamparuli, iaitu seorang daripada malim yang menjadi jurupandu kepada wakil media, mengakui berasa gembira kerana dapat mendaki semula.

Katanya, walaupun pendakian itu tidak sampai ke puncak namun beliau amat bersyukur kerana berpeluang mengunjungi semula gunung itu. - BERNAMA



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.