Perlawanan Persahabatan : Terengganu belasah Sabah 6-1

Tamat perlawanan persahabatan menentang Sabah dengan keputusan 6-1. Kesemua gol Terengganu dijaringkan oleh Hasrolsyawal, Zairo, Ashari & Kalang Tie. Hasrol Syawal & Ashari Samsudin masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan 6-1 Terengganu ke atas Sabah dalam satu perlawanan persahabatan semalam.


PERSAHABATAN: TERENGGANU 6 SABAH 1

Terengganu mengejar dari ketinggalan satu gol ketika menentang Sabah untuk memenangi perlawanan persahabatan mereka yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dengan jaringan 6-1.

S
abah mendahului di minit ke-7 melalui jaringan penalti Muamer Salibasic apabila beliau dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol, Shamirza Yusof.

Terengganu terpaksa membut pertukaran pertama apabila Jose Morales terpaksa dikeluarkan di minit ke-14 akibat kecederaan kaki dan beliau digantikan oleh penyerang Hanelang FC, Hasrol Syawal.

Pemain berpengalaman yang ditugaskan sebagai kapten untuk perlawanan ini, Zairo Anuar menyamakan kedudukan melalui satu tendangan penalti pada minit ke-22 selepas Issey Nakajima dijatuhkan.

Terengganu membuat pertukaran kedua dengan menggantikan Shamirza dengan seorang lagi pemain Hanelang FC, Suhaimi Harun untuk menjaga gawang Terengganu.

Syawal meletakkan Sang Penyu di hadapan pada minit ke-34 apabila beliau berjaya merampas bola dari kaki pemain pertahanan Sabah dan kemudiannya menewaskan penjaga gola Sabah, Rozaimie Rahim dengan satu sepakan rendah.

Sepuluh minit kemudian Syawal berjaya membuat satu lagi jaringan dengan satu tendangan volley yang langsung tidak memberi peluang kepada Rozaimie untuk membolehkan Terengganu mendahului 3-1 di akhir separuh masa pertama.

Pengendali Terengganu, Mike Mulvey membuat pertukaran ‘borong’ dengan mengeluarkan semua sepuluh pemain padang di permulaan separuh masa kedua. Namun ianya tidak mengganggu rentak permainan Terengganu yang terus melancarkan serangan ke atas kubu Sabah.

Sepuluh minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula, Ashari Samsudin menjadikan kedudukan 4-1 apabila beliau menyudahkan hantaran dari Zubir Azmi yang berjaya meloloskan diri di sebelah kiri.

Suhaimi berjaya memikat hati para penyokong Terengganu yang hadir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila berjaya membuat ‘double save’ dari satu serangan Sabah. Beliau digantikan oleh Sharbinee Allawee pada minit ke-60.

Joseph Kalang Tie menambah derita Sabah dengan satu tandukan mudah di minit ke-61 hasil hantaran dari Ismail Faruqi, menjadikan kedudukan 5-1.

Joseph kemudiannya menjadi pencipta jaringan pada minit ke-70 apabila berjaya menewaskan penjaga gol gantian Sabah, Robson Rendy Rining sebelum melintangkan bola untuk Ashari menanduk masuk bola ke dalam gawang yang terbuka untuk menjadikan kedudukan 6-1.

Terengganu terpaksa bermain dengan sepuluh orang pemain untuk tempoh sepuluh minit terakhir apabila Nasril Izzat yang bermain di bahagian pertahanan tengah bersama Khairuil Rosmadi terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan hidung.

Namun para pemain Terengganu tidak membenarkan Sabah mengambil peluang di atas kekurangan tersebut dengan mengekalkan penguasaan bola hingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan, Hamdan Awang.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.