Saringan kontak rapat, kluster sedia ada punca Covid-19 di Sabah meningkat

Kickbola.netSebanyak 298 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah kelmarin.



KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun, berkata saringan kontak rapat dan kluster sedia ada menjadi faktor peningkatan kes baharu Covid-19 di Sabah.

Katanya, 70% daripada 298 kes baharu dicatatkan adalah hasil saringan kontak rapat serta kluster sedia ada.

“Saringan kontak rapat mencatat sebanyak 115 kes atau 38.5% daripada jumlah keseluruhan kes baharu manakala hasil saringan kluster baharu mencatat 94 kes atau 31.5%.

“Bagi saringan kluster sedia ada, kes yang dicatatkan ialah daripada Kluster Kayu Patikang yang merekodkan 37 kes, Kluster Serudung Baru (21), Kluster Siasai Dundau (11), Kluster KKIP Empat Timur (11), Kluster Tanjung Pitas (7), Kluster Lumadan (5), Kluster Bahtera Barat (1) kes dan Kluster Limbawang (1).


“Sementara itu, 26 lagi kes baharu dicatatkan ialah hasil saringan bergejala manakala 20 kes lagi daripada saringan lain-lain kes,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19 Sabah.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap berkaitan Covid-19 Sabah berkata, jumlah kumulatif kes di negeri itu kini 72,611 selepas 298 lagi kes baharu dicatatkan.


Katanya, dua kematian akibat jangkitan wabak itu turut direkodkan, iaitu masing-masing membabitkan seorang pesakit di Lahad Datu serta Papar.

“Sementara itu, jumlah pesakit Covid-19 yang sembuh dan dibenarkan pulang seramai 307 orang menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 69,658.


“Setakat ini, seramai 2,028 pesakit masih menerima rawatan iaitu 422 di hospital, 1,566 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala 40 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU (unit rawatan rapi) pula ialah 57 orang dan 15 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.