3 Jam Paut Mayat Rakan, Elak Hanyut Dibawa Arus.

BOT dinaiki mangsa yang rosak akibat dilanggar sebuah bot di perairan Pulau Mamutik dan Pulau Sulug. FOTO ihsan polis



Kota Kinabalu: Lebih tiga jam memegang erat mayat rakan sambil berpaut pada serpihan bot. Itu cabaran terpaksa ditempuh seorang lelaki yang turut cedera selepas bot dinaiki dirempuh bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sulug, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, rakan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala manakala mangsa pula hanya mendapat rawatan selepas ditemui nelayan lain.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Hasyim Onong, 35, manakala seorang lagi mangsa Edhar Ahali, 35, hanya menerima rawatan selepas jam 6 pagi.

Katanya, siasatan awal, kedua-dua mangsa yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, keluar memancing di lokasi kejadian kira-kira jam 10 malam.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan balik, sebuah bot yang bergerak laju dikatakan tiba-tiba merempuh bahagian belakang bot dinaiki kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa tercampak ke dalam laut manakala bot yang dinaiki mereka pula rosak teruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, suspek yang merempuh mangsa pula dikatakan terus melarikan diri meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang cedera terpaksa berpaut pada serpihan bot sambil menarik rakannya sebelum diselamatkan nelayan yang kebetulan melakui kawasan perairan berkenaan.

“Kedua-duanya dihantar pulang ke rumah sebelum mangsa yang terselamat pergi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

“Mayat mangsa yang maut sudah dihantar ke Bahagian Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan lanjut, polis berjaya merampas sebuah pam bot bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu dengan gopoh dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Usaha memburu suspek dalam kes ini sedang giat dijalankan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.