Maximus komited kendali hal ehwal Sabah, Sarawak

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. - Foto fail NSTP



KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili akan terus komitedp mengendalikan perkara berkaitan Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan menerusi pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, menghargai kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepadanya untuk terus mengendalikan hal ehwal kedua-dua negeri terbabit.

"Bagi pihak PBS, kami menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang yang diberikan sekali lagi untuk berkhidmat kepada rakyat dalam Kabinet.

"Peranan yang diberikan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) sudah tentu amat penting serta strategik terutamanya isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimana rakyat di negeri Sabah dan Sarawak meminta penyelesaian terhadap pelbagai ketidakpatuhan terhadap MA63.

"Banyak perkara yang dilakukan dalam mengenal pasti masalah untuk diselesaikan dan rancangan tindakan yang telah disusun terutamanya untuk perkara yang memerlukan perubahan dalam polisi, peraturan selain tindakan undang-undang dan Perlembagaan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapannya supaya dapat menjalin kerjasama terutamanya dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu serta Ketua Menteri di kedua-dua negeri terbabit dalam melaksanakan tugasnya.

"Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak dalam menyampaikan apa yang telah dirancang serta pelan tindakan baru yang akan dikenal pasti dan dilaksanakan.

"Saya juga mempunyai keyakinan yang penuh terhadap Kabinet baharu yang dipimpin Perdana Menteri yang prihatin terhadap Sabah dan Sarawak dalam perkara berkaitan MA63 dan berharap ia akan disokong, ditangani, dan disampaikan sesuai dengan harapan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya.

Maximus sebelum ini juga memegang jawatan sebagai menteri dalam portfolio yang sama. - BH

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.