Pengusaha homestay sedia ‘buka pintu’

AZIZUL JULIRIN



Pengusaha homestay atau inap desa di Kundasang bersedia ‘membuka ‘pintu’ bagi menerima kemasukan pelancong.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kelonggaran kepada individu yang mempunyai dos lengkap semalam memberi satu sinar harapan kepada pengusaha inap desa di daerah Ranau ini.

Sektor pelancongan di daerah ini lumpuh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan dikuatkuasakan.

Pengerusi Persatuan Mesilou Atamis Homestay Kundasang, Azizul Julirin berkata, hampir semua penduduk di Kundasang ini bergantung kepada sektor pelancongan. Penutupan sektor pelancongan menyebabkan semua rantaian ekonomi berkaitan turut terjejas.

“Kelonggaran ini bukan sahaja berita gembira kepada pengusaha inap desa tetapi juga kepada semua penduduk yang bergantung kepada rantaian ekonomi berasaskan pelancongan.


Kemudahan Sektor Pelancongan Bagi Individu Yang Telah Menerima Vaksin Lengkap - Bagi Negeri-Negeri Dalam Fasa 2 dan Seterusnya | Berkuatkuasa 10 Ogos 2021
“Kemasukan pelancong membolehkan peniaga sayur runcit dan penyedia khidmat pengangkutan turut mempunyai pendapatan. Sekarang, kira-kira 200 gerai sayur-sayuran di sini putus sumber pendapatan kerana tiada pelancong. Jika tiada pelancong, mereka juga tiada pendapatan jadi, bagaimana dengan keluarga yang ditanggung dan bil-bil utiliti yang perlu dibayar,” katanya.

Mengenai prosedur operasi standard (SOP), Azizul berkata, persediaan dan pematuhan SOP tidak menjadi masalah kerana pelaksanaan dua PKP sebelum ini memberi ruang kepada pengusaha homestay untuk melaksanakan SOP dengan ketat.

“Dari segi SOP kita memang sudah bersedia cuma kali ini, pelancong perlu memberikan bukti bahawa mereka sudah menerima dua dos lengkap,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau berharap kerajaan negeri juga memberi kelonggaran yang sama bagi membolehkan ekonomi di Sabah kembali rancak sekaligus mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri ini.

Jika kerajaan Persekutuan memberi kelonggaran dan Sabah tidak, keadaan itu tidak seimbang. Jadi, Sabah kena membuka sektor secara berperingkat.

Pelaksanaan pembahagian daerah mengikut zon yang dilaksanakan di Sabah sebelum ini merupakan satu pendekatan yang baik.

Sekiranya pembahagian daerah mengikut zon dilaksanakan semula, itu pasti akan membantu merancakkan kembali sektor pelancongan di Sabah.

“Penggiat industri pelancongan sudah cukup terbeban dan ramai pekerja yang hilang kerja. Apabila diberi kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap, ini memberi harapan baharu dan akan membantu ekonomi untuk pulih dengan pantas.

“Masyarakat juga tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan kerana mereka boleh kembali berdikari sendiri,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa aktiviti pelancongan bagi negeri-negeri di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan di dalam negeri yang sama bermula esok. Kebenaran ini membabitkan individu yang sudah menerima dua dos vaksin yang lengkap.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.