Sabah meterai perjanjian beli tenaga elektrik Sarawak

Hajiji (dua kiri) bersama Abdul Nasser (dua kanan) serta tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan

Tenaga elektrik dari Sarawak akan memacu pembangunan Sabah - Hajiji



KOTA KINABALU: Sabah menerusi syarikat utiliti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat perjanjian pada Jumaat untuk mendapatkan bekalan elektrik dari Sarawak.

Buat permulaan, Sabah akan mengimport 30MW untuk jangka masa 15 tahun melalui talian transmisi litar berkembar 275kV sepanjang 31km dari Lawas di Sarawak ke Mengalong di Sabah.

Sambungan itu dijangka bermula pada akhir tahun 2023 setelah pembesaran grid di bawah Agenda Bahagian Utara Sarawak Energy yang menghubungkan Miri dengan bandar-bandar di utara Limbang dan Lawas di Sarawak.

SESB menandatangani perjanjian itu dengan anak syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Berhad.

Menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Sabah-Sarawak Power Exchange Agreement dan Perjanjian Sambungtara secara maya di sini pada Jumaat.


Sekitar Majlis memeterai perjanjian beli bekalan elektrik Sarawak
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif itu kerana ia akan meningkatkan sistem pembekalan elektrik di Sabah.

“Usaha ini akan membantu memacu pembangunan Sabah seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan lima tahun, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada awal tahun ini.

“Ini kerana bekalan elektrik yang stabil amat penting untuk menjayakan agenda pembangunan SMJ yang berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan,” katanya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Perjanjian itu akan menjadi langkah permulaan yang penting ke arah merealisasikan visi bersama (Common Goal) BIMP-EAGA iaitu untuk menghubungkan infrastruktur di antara negara-negara ASEAN dengan pembinaan Asean Power Grid (APG) yang secara langsung akan memperbaiki tahap ekonomi negara-negara terlibat.

Hajiji berkata, pembekalan elektrik yang lebih stabil secara langsung akan meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara dan menyokong pertumbuhan sektor perindustrian pengilangan serta hiliran di samping membuka peluang pekerjaan dalam sektor industri berat dan ringan.

Lebih penting lagi katanya, ia akan memperbaiki tahap sosio-ekonomi terutama di kawasan luar bandar.

Hajiji berkata, perjanjian itu sesuai dengan visi SESB untuk menjadi sebuah syarikat tenaga yang efektif, berwibawa dan pemangkin kepada pembangunan Sabah.

“Justeru dalam persekitaran industri tenaga yang semakin mencabar dan harapan pengguna yang semakin tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan yang berdaya harap, usaha-usaha seperti ini adalah sesuatu yang amat penting kepada SESB.

“Menerusi perjanjian ini, kerajaan negeri berharap hubungan yang lebih erat antara negeri Sabah dan Sarawak serta lebih banyak kerjasama menyusul untuk kebaikan dan faedah bersama kedua-dua kerajaan negeri serta rakyatnya,” katanya.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili yang mewakili Syarikat SESCO Berhad.

Majlis secara maya itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg dari Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya di Kuching.

Yang turut hadir menerusi Zoom ialah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad/SESB, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.