Jeffrey: Isu-isu Kesihatan Perlu Diurus Oleh Sabah Sendiri

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Gapari Kitingan



Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan telah mengaku bahawa isu-isu kesihatan perlu diurus oleh Sabah sendiri.

Bercakap kepada media pada hari Selasa, Jeffrey berkata Sabah perlu mewujudkan satu badan agar pandemik Covid-19 boleh diurus dengan lebih baik.

“Kita perlu mencipta enakmen yang berkaitan untuk menyokong usaha (membolehkan Sabah mengurus isu-isu kesihatan) ini dan bahagian keduanya, kita perlu wang dan peruntukan untuk melakukannya.”


Presiden parti STAR itu juga menambah bahawa ini boleh dilakukan di masa akan datang.

“Saya faham keperluan kita mewujudkan satu enakmen untuk memberi kuasa kepada Sabah menangani masalah pandemik ataupun mana-mana penyakit di Sabah.”

“Dalam pandangan saya, kuasa ini harus di bawah Sabah.”

Untuk rekod, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal pernah mewujudkan dan menstruktur semula 3 Kementerian yang baharu di era pentadbiran Warisan.


Shafie Apdal


Di antaranya Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, selain Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah serta Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Jeffrey yang merupakan Pembangkang pada ketika itu, pernah mempersoal dan menindakkan kewujudan Kementerian Kesihatan Sabah.

Melalui sebuah kenyataan media yang dikeluarkan pada 1 September 2020, Jeffrey telah menyindir bahawa Menteri-menteri yang baharu hanya ‘makan gaji buta’ dan Kementerian-kementerian yang baharu hanya ‘membazirkan wang’.

“Bagaimana prestasi kementerian-kementerian yang baharu itu? Apa yang telah mereka lakukan?”


“Apa yang menyebabkan Shafie tiba-tiba menyedari bahawa dia memerlukan kementerian yang baharu?”

“Kementerian baharu yang dicadangkan mungkin akan membazirkan wang. Langkah tersebut akan mengakibatkan perbelanjaan besar, kos pentadbiran dan emolumen.

“Rancangan besar itu kelihatan tidak masuk akal.”

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya mengambil alih pada hujung bulan September 2020 telah memansuhkan kementerian-kementerian yang diwujudkan di era Warisan. - IniSabahBah!

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.