SESB: Bekalan elektrik pulih secara berperingkat selepas terima lebih 3,000 aduan

Kakitangan SESB bekerja hingga larut malam untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan banjir.

SESB terus laksanakan pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat

KOTA KINABALU: Pemulihan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda Pantai Barat Negeri Sabah pada Khamis dan Jumaat dilaksanakan secara berperingkat dan dalam keadaan yang selamat.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Asset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Idris Mohd Noor berkata kerja-kerja pemulihan bekalan telah dimulakan serta merta pada Khamis di kawasan-kawasan yang boleh dilalui oleh pasukan teknikal SESB.


Katanya, kerja baikpulih bekalan disebabkan kerosakan sedang diambil tindakan, dengan keutamaan diberi kepada kerosakan-kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam, seperti tiang patah dan wayar putus.

Kakitangan SESB bekerja hingga larut malam untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan banjir.
“Namun ada sebahagian kawasan yang tidak dapat dilalui disebabkan banjir dan pencawang elektrik ditenggelami air,” katanya dan menambah bahawa pemulihan dilaksanakan apabila air banjir surut.


Selain itu, jelasnya, SESB terpaksa menutup bekalan ke beberapa kawasan yang ditenggelami air banjir atas sebab-sebab keselamatan.

Beliau berkata, lebih dari 3000 panggilan aduan gangguan bekalan dan kerosakan melibatkan talian putus dan pokok tumbang diterima oleh SESB Careline sejak Khamis sehingga lewat malam Jumaat.

Pasukan teknikal SESB telah bekerja selama 24 jam terakhir sejak hari Khamis untuk memulihkan bekalan elektrik ke kawasan di pantai barat berikutan hujan lebat dan banjir.
Kerosakan talian dan gangguan bekalan itu telah menjejaskan lebih 20,000 pengguna di kawasan Kota Belud, Kota Kinabalu, Papar, Beaufort, Sipitang, Bongawan dan Penampang.


Idris juga menasihati orang awam untuk tidak menghampiri ataupun menyentuh pepasangan SESB seperti wayar putus, tiang tumbang bagi tujuan keselamatan.

Pengguna juga dinasihatkan untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088- 515000 atau melalui Whatsapp 019- 852 5427 untuk sebarang pertanyaan. - Warta Oriental

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.